DBKU akan bina taman mini di Pasar Tamu Satok

0

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dijangka akan membina sebuah taman mini di Pasar Tamu Satok (tempat menjual ikan terubuk) selepas peniaga di kawasan berkenaan berpindah ke kawasan baharu kelak.

Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata, bangunan di kawasan itu yang berusia 20 tahun akan dirobohkan terlebih dahulu sebelum dijadikan taman mini untuk persekitaran yang lebih hijau.

“Kami akan bina taman mini di kawasan itu iaitu kawasan niaga yang menjual ikan terubuk yang sekurang-kurangnya mampu mengurangkan pencemaran Sungai Bintangor.

“Bagaimanapun, buat masa sekarang, saya tidak dapat menjelaskan lanjut mengenai pelan taman cuma secara amnya ia adalah idea untuk mewujudkan landskap menarik serta lebih hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penghargaan sukarelawan dan agensi berkaitan yang bekerjasama dengan DBKU di sini, semalam.

Menurut Abdul Wahap, sejurus peniaga berpindah dari kawasan itu, ia membolehkan Sungai Bintangor dipulihkan daripada pencemaran serta menjadi kawasan yang lebih bersih.

Mengulas mengenai perpindahan para peniaga Pasar Satok, katanya, ia dikendalikan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“Terdapat persetujuan bahawa 30 Disember ini merupakan pasar minggu terakhir diadakan dan selepas itu kawasan itu akan dikosongkan,” katanya.

Menurut Datuk Bandar itu, setakat ini kira-kira 1,000 peniaga dari kawasan berkaitan sudah mendaftarkan diri untuk beroperasi di Medan Niaga Satok di Kubah Ria.

Beliau turut memberitahu, satu festival akan diadakan menjelang Tahun Baharu di Medan Niaga Satok anjuran Persatuan Satok Fest.