Industri perkapalan jana RM1b

0

 

SELESA: Taib berasa selesa duduk di kerusi kapten di dek pengemudian kapal NC800 sambil diberi taklimat oleh pegawai Nam Cheong. Turut kelihatan ialah Lee (empat kiri), Tiong (tiga kanan) serta Rezza (tiga kiri).

Adaptasi teknologi hijau dalam pembinaan kapal untuk kuasai pasaran global: Taib

MIRI: Industri perkapalan di Sarawak tahun ini berjaya menjana pendapatan sebanyak RM1 bilion, meningkat satu kali ganda berbanding tahun lalu.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, tahun lalu Sarawak telah mengeskport kapal-kapal binaannya kepada dunia sebanyak RM500 juta, terutama kepada industri minyak dan gas di rantau ini.

“Perkembangan positif ini menyaksikan betapa industri pembinaan kapal di negeri ini begitu stabil dan pastinya akan terus berkembang seiring dengan kepesatan dalam industri minyak dan gas di negara ini.

“Malah kita dapat melihat betapa industri pembinaan kapal ini telah memberi ba-nyak faedah dan peluang      kepada Miri dan juga kawa-san di luar Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), hasil strategi daripada pembangunan SCORE,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan kapal terbaharu Nam Cheong iaitu Kapal Sokongan Platform Pelbagai Guna (MPSV) yang menggunakan kuasa  elektrik diesel, NC800 di limbungannya di Kuala Baram dekat sini, semalam.

NC800 yang bernilai lebih RM100 juta itu merupakan kapal terbesar pernah di-      bina oleh Nam Cheong, sekali gus merupakan kapal pertama di Malaysia yang dibina menggunakan teknologi hijau, yang mana operasinya dijana menggunakan elektrik diesel.

Memuji langkah Nam Cheong yang mengadaptasi-kan teknologi hijau dalam pembinaan kapalnya, Taib menyeru agar syarikat lain mengikut jejak langkah Nam Cheong.

Ini kerana, katanya, bagi memastikan industri perkapalan terus berkembang di peringkat global, mereka perlu melangkah setapak ke hadapan dengan mengadaptasikan teknologi hijau dalam pembinaan kapal dan pada masa sama, masih terus menyokong industri hiliran serta pengeluaran dan eksplorasi (E&P) minyak dan gas.

Dalam perkembangan berkaitan, Taib mahu industri perkapalan di negeri ini mengambil bahagian dalam usaha kerajaan melahirkan golongan pekerja teknikal yang serba mahir dan kejuruteraan industri.

Katanya, melalui industri yang sedang pesat berkembang itu, syarikat-syarikat perkapalan boleh menjalin kerjasama dengan institusi pendidikan ataupun menaja pelajar-pelajar teknikal bagi menggalakkan lagi pengambilan dalam bidang tersebut.

Dalam pada itu, Taib berkata, jalinan kerjasama di antara syarikat korporat besar seperti Shell, Petronas, Nam Cheong dan Bumi Armada merupakan contoh yang baik kerana ia bukan sahaja melibatkan penyertaan syarikat-syarikat tempatan dalam industri global seperti minyak dan gas, malah membantu meningkatkan pencapaian syarikat tempatan di negeri ini.

Sementara itu, kapal NC800 yang dibeli khas oleh Bumi Armada itu akan digunakan untuk menyediakan khidmat sokongan luar pantai kepada pelanggannya, Sarawak Shell Berhad dan Sabah Shell Petroleum.

Hadir sama pada majlis tersebut semalam ialah Menteri Muda Komunikasi merangkap Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Nam Cheong Datuk Tiong Su Kuok serta Ketua Pegawai Kewangan Bumi Armada Rezza Hassan yang mewakili Pengarah Eksekutif Bumi Armada Berhad Hassan Assad Basma.