Majukan sukan ekstrem

0

Persatuan Sukan Xtreme Sibu cadang bina kemudahan

RAPAEE

SIBU: Persatuan Sukan Xtreme Bahagian Sibu mempunyai perancangan cukup besar pada masa akan datang termasuk menca­dangkan bagi pembinaan Taman Skateboarding (pa­pan selaju) di sini.

Pengerusinya Khairul Ar­rifin Abdul Rahman berkata ia adalah sebahagian daripada usaha membangunkan sukan berkenaan di sini yang se­makin popular di kalangan belia tempatan.

Khairul berkata, jika ca­dangan menjadi kenyataan pihaknya menganggarkan pembinaan taman terbabit yang turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan sukan lasak, bernilai RM1.5 juta.

“Ini hanyalah anggaran kasar dan kos sebenar masih belum diketahui lagi kerana cadangan tersebut masih belum dimuktamadkan,” katanya di sini semalam.

Begitupun, pihaknya te­lah memohon kepada pihak berkuasa tempatan supaya ka­wasan lapang di Taman Har­moni dibangunkan dengan pembinaan taman tersebut.

Menurut Khairul, kawasan lapang itu bersaiz dua gelang­gang tenis dan sangat sesuai bagi kegunaan menganjurkan sukan lasak.

Antara sukan lasak paling digemari di sini ialah seperti permainan papan selaju dan berbasikal (BMX).

Namun, minat tersebut tidak kekal lama ekoran ke­tiadaan tempat sesuai untuk mereka bersukan dan keadaan itu menyukarkan bahagian Sibu melahirkan ahli-ahli sukan lasak berkaliber.

Justeru, beliau berharap cadangan membina taman sukan lasak di sini dapat dipertimbangkan dengan baik oleh pihak berkenaan.

Sementara itu, ADUN Nangka Dr Annuar Rapaee memberi sokongan penuh terhadap cadangan tersebut.

Katanya dengan adanya kemudahan (taman) ia se­cara tidak langsung dapat mengelak golongan belia di sini terjebak dengan aktiviti kurang sihat.

“Saya telah bangkitkan perkara tersebut pada Per­sidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuching baru-baru ini,” katanya.