Penerbangan MASwings ke Balikpapan mulai 18 Januari

0

UNTUK ALBUM: Nawawi (tengah) bersama Abdullah, Presiden Kelab Sukan dan Rekreasi MAS Jimmy Ridzuan serta yang lain pada majlis makan malam kelab tersebut.

Penerbangan tiga kali seminggu Kuching-Balikpapan dan Kota Kinabalu-Balikpapan, Kalimantan Barat

KUCHING: Penerbangan MASwings tiga kali seminggu Kuching ke Balikpapan dan Kota Kinabalu ke Balikpapan di Kalimantan Barat, Indonesia dijangka mula beroperasi pada 18 Januari depan.

Pengarah Urusannya Datuk Kapten Mohd Nawawi Awang berkata beliau akan membuat pembentangan terakhir dalam masa terdekat bagi mendapatkan kelulusan Menteri Pengangkutan selepas ia ditunda daripada jadual asal untuk beroperasi pada suku keempat tahun ini.

“Kami juga menunggu kelulusan daripada pihak Indonesia bagi menentukan slot ketibaan pesawat di Balikpapan.

“Mereka menyarankan agar pesawat kami tiba di sana pada sebelah pagi atau lewat petang,” katanya kepada Utusan Borneo.

Beliau menghadiri Majlis Makan Malam Kelab Sukan dan Rekreasi MAS Sarawak yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol di sini malam kelmarin.

Nawawi berkata lagi, penerbangan baharu yang merangkumi fasa kedua program BIMP-EAGA itu dijangka mempunyai potensi untuk membawa lebih ramai penumpang berikutan ekonomi lebih baik di Balikpapan.

“Kami menjangka lebih ramai orang datang ke sini kerana Kalimantan Barat mempunyai industri sawit dan minyak.

“Saya rasa lebih ramai pelancong datang untuk sektor pendidikan, kesihatan dan lain-lain,” ujarnya.

Fasa pertama menyaksikan MASwings menyediakan penerbangan Kuching-Bandar Seri Begawan, Kuching-Pontianak dan Kota Kinabalu-Bandar Seri Begawan.

Bagi mempertingkatkan mutu perkhidmatan, MASwings menurutnya kini dalam proses membeli enam pesawat ATR baharu sejajar dengan perancangan meningkatkan kekerapan penerbangan dan bagi menyokong pembukaan laluan penerbangan baharu.

Antara laluan yang bakal ditambah kekerapan penerbangan ialah Kuching-Bintulu, Bintulu-Miri, Kuching-Sibu, Miri-Kuching dan Miri-Labuan.

Katanya pesawat baharu dijangka memulakan operasinya pada Mac tahun depan.

Mengenai penggunaan pesawat jenis Twin Otter, beliau berkata ia akan  digantikan pesawat jenis lain dan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat  dengan harapan ia bermula pada tahun depan.

MASwings pada masa ini menggunakan empat Twin Otter.

Susulan sebuah daripadanya terbabas di Lapangan Terbang Marudi pada 7  November lepas, MASwings kini mempunyai tiga Twin Otter.

Mengenai jumlah penumpang MASwings pada tahun ini, beliau yakin ia mampu merekodkan 1.5 juta orang penumpang berdasarkan pada pertengahan tahun ini telah mencatat 1.45 juta.

Tahun depan sasaran penumpang ialah 1.6 juta orang katanya, manakala dalam  tiga tahun lagi sasaran ditetapkan dua juta penumpang.

“Kami telah melakukan yang terbaik setakat ini dan akan berusaha lebih gigih  dengan strategi dilaksanakan,” ujarnya.

Sementara itu, diminta mengulas tentang hasrat kerajaan negeri yang ingin memiliki syer dalam MASwings, Nawawi berkata setakat ini perbincangan dilakukan di  peringkat atasan.

“Saya kurang pasti sebab perincian saya belum terima.

“Perbincangan ini dilakukan di peringkat tinggi antara kerajaan negeri dan kerajaan  persekutuan,” katanya.

Pada awal tahun ini, kerajaan negeri memohon agar sebahagian saham MASwings  diberi kepada Sarawak.