Site Last Updated 5:02 pm, Tuesday

RM200 juta untuk Perkhidmatan Saringan Kesihatan

by YAP SIONG HAN,sionghan_yap@yahoo.com. Posted on December 11, 2012, Tuesday

AZMAN ketika menyampaikan amanatnya.

KOTA KINABALU: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan memperuntukkan sejumlah RM200 juta untuk menjalankan program Perkhidmatan Saringan Kesihatan kepada semua pekerja yang berumur 40 tahun ke atas.

Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso, Datuk Dr Mohammed Azman Aziz berkata ada kebaikannya jika membelanjakan duit caruman pekerja dalam mencari cara bagaimana untuk mengelakkan pekerja daripada mendapat kemalangan dan penyakit berbanding hanya memberikan pampasan sahaja.

“Di seluruh Malaysia, kita mempunyai lebih kurang 2 juta pekerja yang berumur 40 tahun ke atas dan di Sabah sahaja kita mempunyai kira-kira 900 ribu pencarum dan 30 peratus atau 270,000 berumur 40 tahun ke atas.

“Saya percaya di Kota Kinabalu sahaja kita mempunyai lebih daripada 100,000 pencarum yang berumur 40 tahun ke atas yang perlu diberikan saringan kesihatan,” katanya ketika merasmikan Taklimat Program Saringan Kesihatan Perkeso di sini kelmarin.

Azman mahu semua pencarum menyertai program berkenaan di 40 buah klinik yang ada tetapi janganlah sesekali mempunyai niat untuk menuntut caruman itu tanpa ditapis.

Katanya, Perkeso tidak akan membenarkan perkara sedemikian berlaku kerana pihaknya mempunyai satu sistem kawalan yang tidak boleh dimanipulasikan kecuali si pelaku bersuhabat dengan pengawai makmal untuk memalsukan saringan kesihatan.

“Jika dilihat pada jumlah kemalangan yang dilaporkan kepada Perkeso, pada tahun 2002 sahaja sebanyak 81,810 kes kemalangan yang berlaku berbanding pada 2011 hanya lebih kurang 59,000 sahaja.

“Kita mampu mengurangkan kadar kemalangan hampir 50 peratus dengan program-program pencegahan kemalangan yang dilakukan Perkeso.

“Kemalangan industri juga dapat dikurangkan hampir 50 peratus pada 2011 berbanding tahun 2002 iaitu lebih kurang 60 ribu kes dicatatkan,” katanya.

Azman tidak menafikan bahawa pihaknya boleh melakukan dengan lebih baik dalam usaha mencegah kemalangan daripada berlaku.

Katanya, keputusan program itu dapat dilihat dalam masa terdekat manakala keputusan pencegahan kesihatan pula hanya akan dapat dilihat dalam jangka masa yang panjang.

“Perkara yang menyedihkan Perkeso adalah apabila terdapat pencarum yang baru berumur 27, 28 tahun datang untuk menuntut disebabkan mereka dikesan mempunyai penyakit kronik.

“Sekiranya kita mengambil inisiatif dalam program pencegahan penyakit ini, mungkin hanya sedikit sahaja dapat kita kurangkan, mungkin hanya beberapa peratus, tetapi untuk jangka masa panjang ia akan memberikan manfaat kepada para pekerja,” katanya.

Tambahnya, Perkeso juga telah berkerjasama dengan pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mencari idea untuk mengurangkan lagi kadar kemalangan dan juga pencegahan penyakit itu.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.