Pendidikan percuma beri peluang pembelajaran setara kepada anak-anak

1

KUCHING: Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip berkata sistem pendidikan secara percuma di Malaysia telah memberi peluang pembelajaran yang setara kepada anak-anak tanpa mengira latar belakang mereka.

“Kita mahu anak-anak mengambil peluang dalam pendidikan percuma yang disediakan supaya mereka berjaya dalam hidup,” ujar beliau pada Majlis Ulang Tahun Ke-12 Love-In-A-Box di Hospital Memorial Rajah Charles Brooke.

Talib yang juga pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) hadir bagi menyampaikan hadiah kepada 170 kanak-kanak dari Kampung Sinar Baru termasuk lapan orang pesakit di hospital tersebut di samping menyerahkan insentif kepada pelajar-pelajar yang telah mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR.

Menurut beliau insentif tersebut merupakan motivasi kepada anak-anak untuk terus meningkatkan tahap keyakinan mereka dalam pembelajaran.

Program Love-In-A-Box merupakan projek komuniti anjuran SEDC sejak tahun 2000 sebagai salah satu program tanggungjawab sosial korporat selari dengan objektif menceriakan kanak-kanak miskin daripada pelbagai kaum menjelang hari-hari perayaan.

Pada 2004, SEDC turut menceriakan warga tua serta keluarga miskin dengan pemberian hadiah-hadiah.

Hadiah-hadiah termasuk buku sekolah, buku mewarna, peralatan menulis, baju sekolah, kasut, beg, permainan dan pakaian bayi.

Tahun ini hadiah-hadiah adalah hasil sumbangan SEDC, PPES Works Sdn Bhd, PPES Roads Sdn Bhd dan Ernst & Young Sdn Bhd.

Hadiah-hadiah tersebut dipilih berdasarkan permintaan kanak-kanak berumur dari satu tahun hingga 17 tahun.

Selain Kampung Sinar Baru, SEDC turut bercadang melawat Rumah Kenangan, PERYATIM dan Titian Kasih.

Program tersebut juga diadakan dengan kerjasama badan-badan kebajikan dan sukarelawan berkaitan seperti Jabatan Kebajikan dan Malaysian Leprosy Relief Association.

Bagi mereka yang berminat menyumbang atau memberi bantuan dalam program tersebut boleh menghubungi Bahagian Perhubungan Korporat SEDC atau Bahagian Pelancongan dan Rekreasi di talian 082-416777.