Industri kreatif perlu dibangunkan

0

Prospek komersial luas, sumbang RM9.4 billion kepada KDNK pada 2008

KUCHING: Industri kreatif perlu dibangunkan secara bersepadu dan terancang melalui satu dasar dan hala tuju yang komprehensif.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, dalam perspektif ekonomi dan sosiobudaya negara, industri kreatif telah memberi sumbangan sebanyak RM9.4 billion kepada Keluaran Kasar Dalam Negara (KDNK) bagi tahun 2008.

Ia sekali gus berpotensi menjana ekonomi berpendapatan tinggi serta memartabatkan budaya bangsa, katanya.

“Sebenarnya, industri kesenian itu sendiri amat luas dan ia berupaya untuk memasuki pasaran nilai komersial.

“Rentetan perkembangan positif ini, individu yang memiliki kemahiran kesenian mempunyai prospek kerjaya yang luas dalam industri kreatif negara.

“Menyedari akan hakikat ini, kerajaan telah menggubal Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) sebagai dasar induk untuk menetapkan prinsip-prinsip asas pembangunan industri kreatif.

“Pada masa sama, DIKN turut membuka lebih banyak peluang kepada pelbagai kumpulan karyawan sedia ada untuk mencetus lebih banyak idea, kreativiti dan inovasi yang boleh dikomersialkan,” katanya.

Taib berkata demikian dalam teks ucapan beliau yang dibacakan oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datuk Mohd Naroden Majais pada Majlis Perasmian dan Persembahan Festival Mutiara Seni (FMS) 2012 di Dewan Undangan Negeri Lama di sini malam kelmarin.

Program itu merupakan lanjutan daripada program FMS 2011 UiTM Shah Alam yang dirancang bagi memenuhi dan merealisasikan program permuafakatan di samping menjurus kepada pemantapan kesenian pelajar bagi memenuhi keperluan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Daripada aspek pengisian, program ini lebih menekankan aspek pemantapan hubungan silaturahim dalam kalangan warga Sekolah Seni Kuching dan Sekolah Seni Johor Bahru di bawah bumbung Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Antara aktiviti yang dirancang sempena FMS 2012 ialah persembahan kebudayaan, pameran, majlis makan malam dan lawatan.

Dalam pada itu, persembahan FMS 2012 malam kelmarin menyaksikan dua persembahan hebat oleh kedua-dua sekolah tersebut bermula dengan muzikal Santubong (Kasih Tidak Kesampaian) oleh Sekolah Seni Kuching dan persembahan Legasi oleh Sekolah Seni Johor Bahru.

Seramai kira-kira 1,000 tetamu hadir menyaksikan persembahan malam kelmarin termasuk Pengarah Pelajaran Sarawak Abdillah Adam, Pengetua Sekolah Seni Kuching Dr Sluhi Lamat dan Pengetua Sekolah Seni Johor Bahru Rohana Ismail.