65 tindakan tata tertib, tiga dibuang kerja

0

HAMZA menyampaikan sijil kepada para pegawai yang berkhidmat cemerlang di IPK Sabah bersempena perhimpunan bulanan di sini kelmarin.

Polis serus tangani masalah disiplin warga polis

KOTA KINABALU: Polis Kontijen Sabah mencatatkan seramai 68 individu termasuk pegawai, anggota dan kakitangan awam telah dikenakan tindakan tatatertib pada tahun ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata daripada jumlah berkenaan, tiga orang telah dibuang kerja sementara selebihnya dikenakan tindakan denda, pelucutan hak emolimen gaji dan amaran keras setelah didapati melanggar peraturan serta tidak berdisiplin.

“Antara kesalahan yang dilakukan adalah mengingkari perintah, cuai ketika bertugas dan tidak berdisiplin.

“Kita mengambil tindakan berkenaan mengikut Peraturan 36 dan 37 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 selepas disiasat oleh Cawangan Tatatertib, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah,” katanya.

Hamza berkata demikian ketika ditemui selepas perhimpunan bulanan IPK Sabah di sini kelmarin.

Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan tatatertib terbabit dilaksana bagi menangani masalah tahap disiplin di kalangan warga polis di negeri ini.

“Bagaimanapun, kes-kes disiplin membabitkan warga polis di negeri ini masih terpencil dan tidak serius kerana hanya membabitkan kira-kira lima peratus daripada jumlah keseluruhan kontijen Sabah,” ujarnya sambil menambah, 228 kertas siasatan tatatertib telah dibuka untuk tahun ini dengan membabitkan seramai 192 anggota pangkat rendah, 28 pegawai dan lapan kakitangan awam.

Jelas Hamza, jumlah terbabit menunjukkan penurunan berbanding tahun lepas iaitu 240 kertas siasatan dibuka membabitkan 201 anggota pangkat rendah, 32 pegawai dan tiga kakitangan awam.