Guna buah tarik pelancong

0

MESTI CUBA: Dawos (empat kanan) menikmati durian tempatan pada Pesta Buah-buahan bersama pegawai-pegawai MPP dan ahli Belia BN Mambong semalam.

Pesta buah-buahan tempatan berpotensi sebagai antara faktor tarik pelancong ke S’wak

KUCHING: Timbalan Menteri Pelancongan Ma­laysia Datuk James Dawos Mamit berkata pesta buah-buahan tempatan berpotensi sebagai salah satu faktor uta­ma untuk menarik kehadiran pelancong ke negeri ini.

Beliau menjelaskan bahawa buah-buahan tempatan teru­tama durian (baka Musang King) begitu popular di kebanyakan negara seperti China, Jepun, Korea, Taiwan dan benua Eropah.

“Pelancong akan membuat pertimbangan melawat negeri ini kerana mahu mengambil bahagian dalam festival buah-buahan tempatan.

“Pesta buah-buahan di Kota Padawan yang diadakan buat kali pertama di sini sebe­narnya sangat biasa diadakan di Semenanjung Malaysia.

“Saya melihat keperluan untuk mempunyai perayaan yang sama di Sarawak untuk mempromosikan buah-bua­han tempatan kepada pelan­cong supaya mereka akan datang semasa musim buah-buahan,” katanya ketika merasmikan Pesta Buah-bua­han Tempatan 2012 anjuran Majlis Perbandaran Padawan (MPP) bersama Belia BN Mambong di sini semalam.

Beliau juga memberitahu, kualiti buah-buahan tempatan jika dibandingkan dengan ek­sport Thailand ke negara luar terutama durian amat berbeza dari segi rasa.

“Durian Malaysia mempu­nyai cita rasa yang berbeza dan unik berbanding Thailand yang hanya mempunyai rasa manis.

“Dan kadang-kadang pelan­cong dari luar negara melihat kepada kandungan khasiat yang memang terdapat pada buah-buahan kita,” ujarnya.

Dawos menambah, pesta yang diadakan itu semalam akan memberi manfaat bukan sahaja di kawasan Parlimen Mambong bahkan keseluru­han Kuching.

Pesta itu juga semalam menyaksikan beratus-ratus orang tempatan membanjiri pekarangan Batu 10 bagi menikmati kira-kira 500kg buah tempatan seperti durian, rambutan, manggis dan lang­sat.