K’jaan pegang teguh kepada prinsip keharmonian rakyat

0

SRI AMAN: Kerajaan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip keharmonian rakyat untuk membentuk masyarakat yang sentiasa bekerjasama, bersatu padu dan hormat menghormati.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat berkata perpaduan kaum dan semangat harmonis yang begitu akrab selama ini amat penting untuk menjamin pembangunan dan kemajuan demi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata hasil perpaduan yang terjalin, maka kita dapat merasai nikmat pembangunan di seluruh negeri, malah ketenteraman yang kita nikmati nyata mengukuhkan kestabilan politik di negeri ini.

“Justeru, seluruh rakyat harus berganding bahu dengan pemimpin parti politik bukan sekadar untuk mencapai kemenangan pada pilihan raya, malah mengekalkan politik pembangunan berterusan khususnya di kawasan luar bandar,” katanya  selepas mengadakan kunjungan ke Program Agensi Bersama Masyarakat anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Sri Aman di pekarangan Rumah Micheal John, Pasar Batu Lintang di sini kelmarin.

Menurutnya, rakyat juga perlu memanfaatkan segala rancangan yang telah dan bakal dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam memperkukuh organisasi pentadbiran dan pengurusan termasuk di peringkat persatuan.

Sebagai contoh, katanya, setiap persatuan perlu berusaha untuk mencapai objektif-objektifnya, namun tidak boleh melepaskan tanggungjawab membawa ahli-ahli kepada arus pembangunan sosial, ekonomi dan sebagainya.

“Sebagai sebuah organisasi masyarakat, setiap ahli dan pemimpin persatuan harus bekerjasama dan sentiasa bergiat aktif untuk menyusun rancangan terbaik serta menjalinkan hubungan rapat dengan pihak kerajaan,” katanya.

Hadir sama Pegawai KEMAS Daerah Sri Aman Hairani Solo, Penghulu Micheal John Sanggup, Tuai Rumah Along Entebar, ketua-ketua jabatan serta ketua-ketua masyarakat.

Dalam pada itu, program berkenaan dimeriahkan dengan pameran oleh agensi-agensi kerajaan, cabutan bertuah, pertandingan kuih tradisional, teka jumlah coklat dan buah dabai.