Kursus berkaitan rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan langkah positif

1

KUCHING: Saranan mewajibkan semua 222 Ahli Parlimen mengikuti kursus berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan apabila Program Tranformasi Kerajaan (GTP) 2.0 bermula tahun depan merupakan langkah positif ke arah kebaikan.

Ahli Parlimen Santubong Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagaimanapun berkata, sepatutnya perkara tersebut turut melibatkan menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen dan pegawai kerajaan yang memegang tampuk kuasa.

Menurutnya, ini kerana kuasa memberi kontrak pembekalan atau pembinaan kerajaan bukannya terletak pada tangan Ahli Parlimen.

“Saya bersetuju dengan perkara ini kerana ia menghala ke arah kebaikan. Namun, ia juga perlu merangkumi menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen.

“Begitu juga dengan pegawai kerajaan khususnya yang bakal atau sedang memegang tampuk kuasa,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang Ekonomi Utama Negara Ekonomi (NKEA) D Ravindran mengenai semua 222 Ahli Parlimen akan diwajibkan mengikuti kursus berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan apabila Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 bermula tahun depan.

Ravindran dipetik sebagai berkata, ia bagi memastikan wakil rakyat sama ada kerajaan atau pembangkang memperoleh maklumat tepat berhubung isu rasuah.

“Matlamatnya untuk memastikan Ahli Parlimen tidak termakan dengan sebarang pujukan hingga mengetepikan nilai diri semata-mata untuk memenuhi kepentingan peribadi walaupun mereka tahu keputusan yang dibuat boleh memberi kesan buruk,” ujarnya dalam laporan sebuah akhbar nasional bahasa Melayu Isnin lepas.

Menurut Ravindran lagi, kursus itu sama ada separuh hari atau sehari sedang dirancang dan akan dilaksana sebaik modul khusus untuk kumpulan kenamaan itu siap pada suku pertama 2013.

Mengulas lanjut perkara tersebut, Wan Junaidi menjelaskan, sebenarnya Ahli Parlimen tidak mempunyai banyak kuasa melainkan ada yang memegang jawatan tertentu.

“Jikalau dilihat daripada bidang kuasa, sebanyak mana sahaja kuasa yang ada pada Ahli Parlimen melainkan memegang jawatan tertentu,” jelasnya.

Beliau berkata, sepatutnya kursus seperti itu turut melibatkan golongan yang mempunyai kuasa dan bukannya disasarkan kepada Ahli Parlimen sahaja.

“Kita perlu melihat dan mengkaji juga pihak yang ada kuasa kerana mungkin ada berlaku sebarang unsur yang membenarkan rasuah atau salah guna kuasa,” kata Wan Junaidi yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat.