Awang Tengah kecam individu suka menentang projek kerajaan

0

SEBUYAU: Menteri Peran-cangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan semalam mengecam beberapa individu yang suka menentang projek-projek kerajaan.

Beliau berkata terdapat beberapa kes di mana projek seperti membawa bekalan elektrik ke luar bandar telah ditangguhkan disebabkan bantahan daripada mereka.

Memetik kes, Awang Tengah berkata kerajaan telah mengalami masalah untuk mendirikan tiang elektrik walaupun di rizab jalan di mana terdapat individu me-nuntutnya, menyebabkan projek ditangguhkan.

“Di sesetengah tempat, projek terpaksa ditangguhkan kerana tentangan daripada sesetengah orang dan ini akan membawa kesan negatif kepada majoriti yang menginginkan pembangunan,” katanya pada majlis penyerahan pampasan tanah bagi Jalan Kelait-Entangor, di sini.

Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Perindustrian merangkap Menteri Kemudahan Awam itu berharap agar rakyat memahami secara mendalam tujuan kerajaan mengambil tanah.

“Apabila kerajaan membeli tanah, ia adalah untuk tujuan pembangunan bagi faedah rakyat dan apabila kerajaan mengambil tanah, ia adalah berasaskan undang-undang,” jelasnya.

Memberikan contoh pembinaan jalan, beliau berkata ia akan memberi peluang kepada pemilik tanah untuk membangunkan tanah ma-sing-masing bagi tujuan pertanian serta meningkatkan nilai tanah tersebut.

Sementara itu, seramai 118 pemilik tanah yang terjejas oleh pembinaan jalan telah dibayar pampasan berjumlah RM176, 676.

Upacara turut merangkumi pembayaran pampasan kepada 34 pemilik tanah dengan nilai RM147,191 dan pemberian surat hak milik tanah kepada seramai 19 orang yang terjejas oleh projek Bandar Baharu Sebuyau.

Awang Tengah menjelas-kan, pampasan tersebut ada-lah dibayar berdasarkan harga pasaran semasa.

Turut hadir ialah Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Julaihi Narawi, ADUN Sadong Jaya Aidel Lariwoo, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Samarahan Rozlan Putit, Pegawai Daerah Simunjan Zainul Abidin Hussain dan Pegawai Pentadbiran Daerah Kecil Sebuyau Abdul Rahman Brahim.