Kemudahan dinikmati veteran tentera perlu ditambah baik

0

KUCHING: Pemberian Kad Privilege 1Malaysia kepada veteran tentera tidak akan memberi kesan signifikan kepada veteran tentera di Sarawak jika kemudahan yang dinikmati anggota dalam perkhidmatan ketika ini tidak ditambah baik.

Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Sarawak Spencer Birai berkata kerajaan harus memperluaskan kemudahan itu dengan mengambil kira keperluan serta situasi di negeri ini kerana ketika ini kebanyakan syarikat yang menawarkan diskaun di bawah program itu hanya terdapat di Semenanjung Malaysia.

Sebagai contoh katanya, ketika ini hanya BHPetrol yang menawarkan diskaun untuk pemegang kad ber-kenaan sedangkan di Sarawak stesen minyak itu tidak wujud di Sarawak.

“Ini suatu yang baik cuma kalau boleh kerajaan memperluaskan kemudahan ini dengan mengambil kira situasi di Sabah dan Sarawak khasnya.

“Minyak (petrol) misalnya antara keperluan penting dan 30 peratus daripada veteran tentera di Sarawak tinggal di rumah panjang atau luar bandar tetapi di bawah kad setakat ini hanya BHP yang terlibat.

“Kalau boleh kementeri-an bertanggungjawab menjalinkan kerjasama pintar dengan syarikat minyak yang didapati dengan mudah di negeri ini seperti Shell atau Petronas.

“Jika tiada penambahbaikan, maka pemberian kad ini kepada veteran tentera mulai tahun depan tidak bermakna,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Spencer menambah, pasar raya yang terlibat dalam program itu juga perlu diperluaskan kepada pasar raya yang wujud di negeri ini seperti Parkson atau kedai 24 jam seperti 7-Eleven.

Menurutnya kemudahan itu seharusnya memberi pe-nekanan kepada keperluan asas dan penjagaan kesihatan sesuai dengan keperluan golongan itu.

Turut sependapat dengan Spencer, Setiausaha Agung Persatuan Veteran Renjer Sarawak Kapten (Bersara) Mohd Johari Ibrahim.

Bagaimanapun katanya, persatuan amat berterima kasih kepada kerajaan dengan pengumuman inisiatif-inisiatif bagi membela veteran tentera di negara ini.

“Kita amat berterima kasih kepada kerajaan kerana lima daripada tujuh inisiatif di-umumkan kerajaan merupakan perkara yang diperjuangkan oleh persatuan selama ini namun pemberian Kad Privilege 1Malaysia kalau tiada penambahbaikan ia tidak banyak memberi kesan kepada golongan sasaran.

“Oleh itu kami mencadangkan agar perkhidmatan ditawarkan merangkumi aspek penjagaan kesihatan dan keperluan harian jika tidak ia hanya akan menjadi koleksi kad,” ujarnya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Sarawak Leftenan Kolonel Monday Juhid mengakui pemberian Kad Privilege 1Malaysia kepada anggota dalam perkhidmatan buat masa ini kurang memberi manfaat kepada pemegang kad di Sabah dan Sarawak berbanding di Seme-nanjung Malaysia.

“Memang betul ketika ini pemegang kad di Sarawak kurang mendapat manfaat berbanding mereka yang ber-ada di Semenanjung Malaysia sebab kebanyakan syarikat atau rakan niaga yang menyer-tai program itu tidak berada di Sarawak.

“Memang ada (syarikat) di Sarawak tetapi jumlahnya sangat terhad… kalau boleh senarai syarikat terlibat ditambah dari semasa ke semasa dan terhadap di negeri ini sebelum kemudahan ini diperluaskan kepada veteran tentera, kalau tidak ia tidak akan mencapai objektifnya,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu lepas mengumumkan tujuh inisiatif membela veteran tentera termasuk pemberian Kad Privilege 1Malaysia di bawah Program Pengiktirafan Veteran 1Malaysia (1MVRP).

Pada 7 Ogos lalu Najib melancarkan Kad Privilege 1Malaysia di Putrajaya sebagai satu usaha kerajaan memperluaskan konsep 1Malaysia untuk meringankan beban perbelanjaan para pegawai, anggota polis dan tentera.

Ia merupakan inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan 6 atau National Blue Ocean Strategy (NBOS 6) yang memperlihatkan usaha sama antara tiga kementerian iaitu Kementerian Kewangan sebagai peneraju, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertaha-nan.

Ketika dilancarkan 23 syarikat telah mengambil bahagian antaranya Mydin, Proton, KFC, AirAsia (Big Loyalty Programme), BHPetrol, Ra-pidKL, aL-ikhsaN, KTM, Resort World Genting, Syarikat Jakel dan Focus Point.