Prestasi PMR S’wak menurun

0

Jumlah calon dapat semua A daripada 1,948 pada 2011 kepada 1,781 tahun ini

KUCHING: Pencapaian Penilaian Menengah Rendah (PMR) dari segi jumlah calon yang mendapat semua A dalam semua mata pelajaran menunjukkan penurunan sebanyak 0.41 peratus iaitu daripada 1,948 orang pada 2011 kepada 1,781 orang tahun ini.

Menurut Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Abdillah Adam, bilangan calon mencapai penguasaan minimum turut menurun daripada 26,946 orang kepada 26,101 tahun ini sekali gus menyaksikan pengurangan seramai 845 orang.

Katanya seramai 41,035 calon menduduki PMR dengan jumlah calon sekolah menengah kebangsaan seramai 39,775, sekolah swasta (1,230) dan persendirian (30 orang).

“Pada keseluruhannya, pencapaian calon menurun apabila diukur daripada nilai GPN (Gred Purata Negeri) kerana nilainya meningkat sebanyak 0.03 mata iaitu daripada 2.88 pada 2011 kepada 2.91 tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan mengumumkan keputusan PMR 2012 peringkat Sarawak yang dibacakan oleh Ketua Sektor Jaminan Kualiti Abdul Rahman Bolhassan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Ahmad Zaidi, Jalan Sultan Tengah, di sini, semalam.

Abdillah memberitahu, bagaimanapun didapati prestasi calon bandar meningkat dengan penurunan GPN daripada 2.88 kepada 2.70 tahun ini manakala calon luar bandar meningkat daripada 2.81 tahun lepas kepada 3.05 tahun ini.

Menurutnya, penguasaan minimum D di kalangan calon bandar menunjukkan pencapaian hampir serupa dengan tahun lepas iaitu 73.37 peratus berbanding 73.41 peratus tahun lepas manakala calon sekolah luar bandar menunjukkan penurunan daripada 65.96 peratus tahun lepas kepada 62.80 peratus tahun ini.

Beliau memberitahu, dari segi cemerlang A mengikut mata pelajaran, empat daripada 14 mata pelajaran menunjukkan peningkatan tahun ini iaitu Bahasa Melayu, Sejarah, Kemahiran Hidup 2 (Ekonomi Rumah Tangga) dan Kemahiran Hidup 3 (Pertanian).

Dalam pada itu, Abdillah turut memaklumkan bahawa lapan sekolah telah mencapai 100 peratus penguasaan minimum D bagi semua mata pelajaran iaitu SM Sains Kuching, SM Sains Miri, Sekolah Seni Kuching, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuching, MRSM Betong, MRSM Mukah, Sekolah Menengah Lodge Kuching dan SM Tunku Putra Kuching.

“Pencapaian penguasaan minimum D dalam semua matapelajaran diambil bagi Sarawak menunjukkan empat daripada 14 mata pelajaran yang ditawarkan telah mengatasi atau sama di peringkat kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman memberitahu bahawa SM Sains Kuching muncul sebagai sekolah cemerlang dalam pencapaian PMR tahun ini.

“Kira-kira 63 pelajar daripada 93 orang calon yang menduduki PMR mendapat semua A tahun ini,” katanya.