PERKESO rancang buka pejabat baharu di Limbang

0

KUCHING: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Sarawak merancang untuk membuka sebuah lagi pejabat baharu di Limbang.

Pengurus Cawangan Khidmat Pelanggan, Bahagian Perancangan dan Hal Ehwal Korporat PERKESO Chan Hood Cheng berkata, perkara itu masih di tahap cadangan dan penelitian sedang dilaksanakan.

Beliau menjelaskan cadangan untuk membuka pejabat baharu di Limbang itu bagi memudahkan kerja-kerja berkaitan PERKESO seperti tuntutan, pendaftaran dan sebagainya.

“Sekarang ini mereka yang mahu berurusan dengan kita terpaksa berjalan jauh iaitu ke Miri untuk menyelesaikan urusan mereka.

“Sebab itu, saya lihat keperluan untuk membuka sebuah lagi pejabat baharu di Limbang amat bertepatan dalam memberi perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja dan tanggungannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah berkenaan PERKESO pada Seminar PERKESO Bersama Media di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Chan menjelaskan kini Sarawak mempunyai lapan pejabat di seluruh negeri iaitu di Kuching, Bintulu, Sri Aman, Miri, Sarikei, Kapit dan Sibu.

Pada masa sama, beliau menyeru pengamal media dan badan bukan kerajaan (NGO) agar memperluaskan ilmu tentang kemudahan yang disediakan PERKESO untuk membantu golongan memerlukan.

“Ramai di antara pencarum PERKESO tidak mengetahui tentang faedah dan kemudahan yang ada disediakan, justeru untuk menyebarkan maklumat ini, kita amat berharap media dapat membantu kita termasuklah NGO di negeri ini,” ujarnya.