NGO perlu laksana kerja amal

0

Untuk membolehkan mereka membantu masyarakat memerlukan

PUTATAN: Badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini perlu mengorak langkah dalam melaksanakan usaha khususnya melibatkan kerja-kerja amal yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin berkata setiap usaha yang digerakkan oleh NGO adalah seiring dengan tujuan utama penubuhannya iaitu membantu kerajaan secara sukarela.

“Menerusi kerja amal, para NGO dapat menarik perhatian masyarakat terutamanya mereka yang tidak terlibat dengan organisasi supaya terlibat dengan aktiviti seumpama itu,” katanya.

Beliau berkata, hasil yang disalurkan sekaligus mampu meringankan beban masyarakat yang menerima khususnya mereka yang memerlukan.

Yahya berkata demikian kepada media selepas membuat tinjauan ke program jualan amal pakaian terpakai atau ‘bundle’ di tapak tamu Putatan di sini kelmarin.

Jelasnya, program berkenaan adalah anjuran Kelab Komuniti Stussy Bundle dengan kerjasama Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Daerah Putatan.

“Melalui jualan amal seperti ini, kita lihat ramai pengunjung datang terutamanya warga setempat untuk sama-sama menjayakannya.

“Mereka bukan sahaja membeli pakaian yang dijual, malah dalam masa yang sama mereka tahu ia untuk kerja amal,” katanya.

Tambahnya, hasil jualan sempena program itu akan disalurkan kepada PDK Putatan bagi membantu golongan istimewa iaitu kanak-kanak kurang upaya yang mengikuti latihan di pusat berkenaan.

Beliau berkata, PDK adalah sebuah institut yang baik yang dapat memberi pendidikan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) khususnya di daerah itu.

Walaupun ia pertama kali dianjurkan, beliau melihat sambutan yang ditunjukkan begitu menggalakkan dan ia pasti akan diadakan dari semasa ke semasa.

Kira-kira 5,000 pasang pakaian bundle disediakan untuk program berkenaan yang hanya dijual pada harga RM1 sehelai.

Turut hadir, Pengerusi PDK Daerah Putatan, Karim Awang dan Penasihat Kelab Komuniti Stussy, Ishak Arifin.