Empat beranak rentung dalam kemalangan ngeri

0

HANGUS: Anggota Bomba dan Penyelamat memeriksa bahagian kereta yang telah hangus terbakar dalam kemalangan jalan raya di Kemaman semalam. Gambar kiri menunjukkan empat sekeluarga yang maut (dari kiri) Sabirin Sulaiman, Halina Saif @ Saib, Siti Aisyah Sabirin, dan Siti Khadijah Sabirin. — Gambar Bernama

Keempat-empat terperangkap di dalam kereta Kia Sephia

KEMAMAN: Empat beranak rentung setelah kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah bas ekspres lalu terbakar dalam kemalangan di Kilometer 126 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kemasik di sini awal semalam.

Kemalangan ngeri itu meragut nyawa seorang guru, Mohd Sabirin Sulaiman, 50, dan isterinya Halina Saif@Saib, 40, serta dua anak perempuan mereka Siti Aisyah, 14, dan Siti Khatijah, 12.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi, keempat-empat beranak itu terperangkap di dalam kereta Kia Sephia yang mereka naiki, mengakibatkan kereta itu terbakar dan seterusnya membakar bas ekspres terbabit yang dinaiki lapan penumpang.

Katanya kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta yang dinaiki keluarga terbabit dari arah Kuantan menghala ke Dungun dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh bas berkenaan.

Beliau berkata kereta yang dipandu Mohd Sabirin bertembung dengan bas ekspres dari Kota Baharu, Kelantan menuju ke Melaka sebelum kereta itu diseret bas ekspres kira-kira 30 meter sehingga ke kaki lima jalan.

“Pertembungan itu mengakibatkan kereta yang dinaiki keluarga malang itu terbakar sebelum api menyambar dan membakar hampir keseluruhan bas ekspres,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Jamshah berkata empat beranak itu dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Dungun selepas menghantar anaknya menyertai pertandingan catur.

Beliau berkata Mohd Sabirin merupakan seorang guru bahasa Jepun dan mengajar di Sekolah Menengah Tengku Intan Zaharah, Dungun dan keluarga itu tinggal di Jalan Tok Mudim, Batu 5 Dungun.

“Ketika kejadian hujan renyai-renyai dan mungkin jalan licin menyebabkan mangsa gagal mengawal kenderaan. Bagaimanapun siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan.

“Saya mengingatkan orang ramai agar berhati-hati ketika memandu pada musim hujan ini berikutan jalan licin dan jalan berlopak. Ini kerana dalam tempoh dua minggu ini, dua hingga tiga kes maut dicatatkan disebabkan faktor itu,” katanya.

Mayat Mohd Sabirin yang pertama dibawa keluar disusuli Siti Aisyah yang rentung keseluruhan badan, diikuti Halina yang rentung sehingga ke paras pinggang dan yang terakhir Siti Khatijah yang rentung keseluruhan badannya.

Sementara itu pemandu serta lapan penumpang bas ekspres itu mengalami cedera ringan termasuk seorang yang patah kaki ketika cuba menyelamatkan diri sebelum bas tersebut terbakar.

Seorang penumpang Wan Mohd Al-hakim Wan Yusoff, 27, berkata semasa kejadian dia baru sahaja hendak tidur selepas berbalas khidmat pesanan ringkas bersama rakannya.

Namun tiba-tiba dia terasa bas terbabas ke kiri jalan dan terdengar dentuman kuat serta jeritan meminta tolong dari luar bas.

“Saya terjaga dan nampak kereta telah melanggar bas yang saya naiki selain itu saya turut mendengar jeritan dari luar bas namun saya tidak berani nak tengok dan lihat api dari depan bas.

“Masa itu hanya fikir nak selamatkan anak saya Wan Mohd Adam Al-Haqq dan saya mencari anak yang jatuh dari tempat duduk dan terlihat kepulan asap di dalam bas,” katanya.

Wan Mohd Al-hakim berkata kesemua penumpang cuba menyelamatkan diri namun gagal kerana pintu berkunci sebelum seorang daripada penumpang memecahkan pintu utama untuk membolehkan mereka keluar.

Akibat kejadian itu dia mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan punggung manakala seorang lagi penumpang Mohd Faiz Sulihan, 23, patah kaki kiri dan menerima rawatan di Hospital Kemaman. — Bernama