AKPK tawar perkhidmatan di Bintulu

0

PENGHARGAAN: Chong (tiga kiri) memberikan cenderamata kepada Dr Wong sejurus selesainya sesi ceramah berkenaan sambil disaksikan oleh para tetamu kehormat yang lain.

Perkhidmatan percuma menerusi premis Maybank di pusat bandar Bintulu

BINTULU: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) akan menawarkan perkhidmatan percuma buat orang ramai di sini menerusi premis Maybank yang terletak di pusat bandar bermula Januari 2013.

Menurut Penasihat Kredit AKPK Kuching Yeo Wee Kiak, agensi ini agak berbeza dengan agensi kaunseling dan pengurusan kredit yang lain kerana setiap klien tidak perlu bagi menghadiri kursus khas yang disediakan.

“Sebaliknya mereka (klien) boleh terus pergi ke program sedia ada dan menemui penasihat kewangan kami (AKPK) yang akan diadakan sekali dalam setiap bulan,” ujarnya.

Katanya bagi sesiapa yang memerlukan nasihat kewangan, mereka hanya perlu membuat temu janji dengan pegawai agensi di Kuching di talian 082-414910.

Yeo berkata demikian semasa ditemui di Ceramah Kesedaran AKPK di premis Gabungan Kesatuan Cina Berdaftar Bintulu (FORCA) di sini semalam.

Turut hadir dalam ceramah berkenaan ialah Pengerusi FORCA Dr Wong Aik Loung dan Ahli Dewan Negara Senator Pau Chiong Ung.

Sementara itu, Pengurus di Jabatan Pengurusan Kewangan AKPK Desmond Chong berkata ceramah ini merupakan antara program agensi bagi mempromosikan perkhidmatan yang ditawarkan secara percuma buat orang awam di sini.

“Secara umumnya, AKPK merupakan agensi yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia bagi memberikan panduan dan nasihat tentang pengurusan kewangan dan kredit, pendidikan kewangan dan sebagainya yang berkaitan dengan pengurusan kewangan serta perbankan,” jelasnya.

Katanya ceramah yang menyasarkan individu berumur 18 tahun ke atas ini sememangnya bagi membantu klien untuk memahami bentuk-bentuk hutang dalam urusan perbankan dan kewangan masa kini yang berupaya membantu individu yang dilanda masalah hutang menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Jelasnya sejak 2006, AKPK telah memberikan bantuan kaunseling buat sekitar 200,000 orang klien di seluruh negara yang datang meminta khidmat nasihat kewangan terutama dalam menguruskan soal hutang dan kewangan.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkhidmatan yang ditawarkan oleh AKPK boleh melayari laman wab agensi berkenaan di www.akpk.org.my.