CSR perlu dipupuk di kalangan generasi muda

0

Golongan belia bersependapat, CSR kepada masyarakat bukan urusan golongan dewasa semata-mata

KUCHING: Golongan belia bersependapat bahawa tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat bukan urusan golongan dewasa semata-mata namun perlu dipupuk di kalangan generasi muda.

Ketika ditemui Khuzaimah Umar, 19, berkata beliau bersetuju dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menubuhkan 1Malaysia For You (1M4Y) yang di lancarkan baru-baru ini.

“Saya sebenarnya berbesar hati dapat merasai kesusahan hidup mereka yang memerlukan dan membantu sedaya yang boleh ‘bak kata pepatah berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’.

“Walaupun ia kali pertama saya ikut lawatan dari sekolah ke rumah orang tua untuk CSR namun ia tidak berhenti setakat itu kerana penghulu kampung kami juga menggalakkan kerja-kerja kebajikan di kalangan golongan belia,” katanya semalam.

Sementara itu, seorang belia yang hanya mahu dikenali sebagai Adrian berkata lebih banyak projek CSR harus dipergiatkan dari peringkat sekolah untuk memupuk sikap suka membantu mereka yang memerlukan.

“Inilah peluang kita merasa dan melihat kehidupan mereka yang susah dan kita berpeluang membantu dan lebih baik jika ia diteruskan sehingga bila-bila,” jelasnya.

Bagi golongan ibu, Salmah Bujang 41, beliau lebih suka anak-anaknya mengikuti rombongan sekolah dan persatuan untuk menjalankan CSR.

“Program seperti ini sebenarnya memberi manfaat kepada lebih ramai golongan belia untuk memupuk sifat sayang-menyayangi daripada melakukan aktiviti yang kurang senonoh dan melepak,” katanya.

Beliau bagaimanapun menyatakan rasa senang kerana anak-anaknya sudah mengamalkan CSR sekian lama dengan melibatkan diri dengan Kawasan Rukun Tetangga di Taman Sourabaya.