Fatwa mengenai kalimah Allah tidak akan dilaksana di Sarawak

1

KUCHING: Isu kalimah Allah yang telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa hanya orang Islam di negara ini boleh menggunakan kalimah ber-kenaan tidak akan dilaksanakan di negeri ini.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, ini kerana isu penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam tidak timbul di negeri ini.

“Kita di Sarawak tidak timbul isu tersebut, oleh yang demikian kita tidak akan melaksanakan perkara berkenaan di negeri ini,” katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kesan daripada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa penggunaan kalimah Allah hanya boleh diguna pakai oleh orang Islam di negara ini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Baru-baru ini, Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan perkara itu tidak perlu dipolemikkan kerana keputusan tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible perlu dihormati semua kaum.

Perkara itu tercetus apabila Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mendesak kerajaan membenarkan penganut Kristian di Semenanjung menggunakan kalimah berkenaan dalam kitab mereka versi Bahasa Melayu.

Sementara itu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Negeri Datuk Dr Stephen Rundi Utom menegaskan isu berkenaan tidak seharusnya dipolitikkan.

“Kita seharusnya menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa dalam bidang keagamaan kerana kita mesti memelihara sikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain supaya kita dapat terus hidup harmoni.

“Saya membuat kenyataan bukan sebagai Setiausaha Agung tetapi sebagai warga Malaysia yang cintakan keamanan,” ujarnya lagi.

Justeru, beliau berharap rakyat Sarawak terus menjaga kepentingan satu sama lain, tidak mengira agama dan bangsa bagi mengekalkan keamanan dan perpaduan yang telah lama dikecapi.