Penduduk harus bersabar nanti kemudahan asas

0

ADAT TRADISI: Fatimah menyaksikan upacara persembahan makanan serta permohonan doa kepada ‘ipok’ darat sempena Pesta Kaul Kampung Klid Dalat, semalam.

MUKAH: Penduduk di beberapa kampung di kawasan Dalat diminta bersabar menanti kemudahan infrastruktur asas daripada kerajaan.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, kerajaan amat prihatin terhadap keperluan rakyat dari segi kemudahan infrastruktur.

“Dalam keadaan sekarang ini, penduduk diharapkan bersabar menunggu kemudahan seperti bekalan elektrik, jaringan jalan raya dan permohonan mereka untuk membina benteng.

“Ini kerana kerajaan sentiasa memandang serius mengenai masalah jaringan jalan raya di kawasan pedalaman.

“Sarawak amat luas dan setiap tahun kita mewujudkan jalan raya, maka penduduk di kampung ini harus bersabar menunggu giliran bagi membina jalan raya,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Kaul Kampung Klid, Dalat semalam.

Tiga buah kampung iaitu Kampung Klid, Narub dan Sua di sini meraikan Pesta Kaul secara tradisional melibatkan penghantaran ‘serahang,’ persembahan makanan serta permohonan doa kepada ‘ipok’ darat yang berlangsung di Sungai Batang Oya, semalam.

Menurut Ketua Kaum Kujan Chalang, 57, penduduk setempat masih mengekalkan budaya menyembah ‘ipok’ kerana ia merupakan budaya nenek moyang mereka suatu ketika dahulu.

“Adat tradisi budaya Melanau ini bermula sebelum kedatangan agama Kristian dan juga Islam. Sekarang, Kaul merupakan aktiviti sosial yang sama-sama diraikan oleh penduduk dari tiga buah kampung dengan memberi makan dan berdoa kepada ‘ipok darat.

“Upacara ini seharusnya dikekalkan kerana penting untuk mengekalkan budaya kita, jika tidak diamalkan, mungkin budaya ini akan pupus ditelan zaman,” katanya.

Pada majlis itu, Fatimah memperuntuk sejumlah RM30,000 bagi memperbesarkan balai raya di kampung-kampung berkenaan.