Tiada amalan ‘kuku besi’

0

KONDUSIF: Tapak Medan Niaga Satok yang moden, bersih, teratur dan selesa.

FAMA beri tempoh sebulan peniaga pindah ke Medan Niaga Satok

KUCHING: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) tidak bersifat ‘kuku besi’ dalam isu pemindahan para peniaga di Pasar Satok dan Pasar Minggu ke Medan Niaga Satok.

Malah, para peniaga diberi tempoh sebulan dari tarikh 1 Januari tahun depan untuk membuat keputusan berpindah ke lokasi perniagaan terkini itu, kata Pengarah FAMA Negeri, Paza Dan.

Menurut beliau, keputusan berhubung tempoh itu dibuat setelah FAMA menawarkan tapak niaga kepada 1,012 peniaga Pasar Satok dan 1,229 lagi peniaga Pasar Minggu di Medan Niaga Satok pada 27 Disember lalu.

Katanya, keputusan sebulat suara juga dicapai bahawa tapak yang tidak diduduki nanti akan diserahkan kepada peniaga baharu yang turut mengemukakan permohonan.

“Kami tidak bersifat kuku besi tetapi kemudahan yang disediakan di Medan Niaga Satok adalah percuma dan moden dengan sistem sisa buangan yang baik serta mesra alam,” katanya pada sidang media berhubung operasi Medan Niaga Satok, semalam.

Paza berkata, Medan Niaga Satok bernilai RM46.6 juta yang dibina di atas tanah seluas 12.25 ekar di Jalan Matang, Petra Jaya akan memulakan operasi secara rasmi pada 1 Januari, manakala Pasar Minggu pada 5 Januari tahun depan.

Beliau menarik perhatian, lokasi baharu projek berkenaan diilhamkan oleh Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg enam tahun lalu untuk menawarkan tapak niaga yang kekal, moden, bersih, teratur dan selesa.

Projek terbabit menyediakan 1,444 tapak bagi peniaga yang menjual hasil hutan, Pasar Minggu, pasar borong dan perniagaan jenis lain, jelasnya.

Selepas 1 Januari, tapak Pasar Tamu Satok akan dirobohkan bagi tujuan membina taman mini untuk menggalakkan sektor pelancongan negeri, tambahnya.

“Kadar sewa percuma diberi kepada peniaga untuk tempoh dua bulan kerana kita faham situasi peniaga yang berpindah ke tempat baharu. Kadar sewa hanya akan dikenakan bermula Mac tahun depan,” katanya.

Tapak niaga di Medan Niaga Satok dibahagi kepada Zon Basah (Blok B), Zon Kering (Blok C), gerai-gerai makanan/’Benteng’ (Blok D), Pasar Minggu dan pasar borong.

Sewa bulanan untuk Pasar Minggu dari RM10 hingga RM50 sebulan, manakala sewa Blok B, C, D dan E adalah antara RM45 dan RM3,000 (kafeteria).