Pasar Minggu Satok tinggal kini hanya sejarah

0

Bermula 1 Januari 2013, operasi perniagaan dipindahkan ke Medan Niaga Satok di sebelah Kubah Ria

SESAK: Laluan masuk ke Pasar Minggu Satok sesak dengan kenderaan.

KUCHING: Semalam merupakan hari terakhir bagi penduduk bandar raya ini dan pelancong membeli-belah di Pasar Minggu Satok.

Bermula 1 Januari 2013 (esok), tidak ada lagi operasi perniagaan dijalankan di lokasi yang popular sejak 20 tahun lepas kerana peniaga dipindahkan ke Medan Niaga Satok.

Tinjauan Utusan Borneo di Pasar Minggu Satok semalam begitu sesak dengan kehadiran orang ramai merebut peluang untuk membeli-belah buat kali terakhir di pasar itu.

Malah laluan menuju ke pasar itu juga sesak dengan kenderaan.

Menurut Shazwan Iswandi, 30, minggu depan tiada lagi Pasar Minggu Satok dan peluang membeli buat kali terakhir adalah pengalaman bersejarah.

“Selepas ini (bermula minggu depan) orang ramai akan membeli-belah di Medan Niaga Satok dan tidak lagi di Pasar Minggu Satok seperti kebiasaan sebelum ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Bagi Nurzana Fadilla, 42, pengalaman membeli-belah buat kali terakhir di Pasar Minggu Satok merupakan peristiwa tidak dapat dilupakan.

“Saya gembira bercampur sedih. Gembira kerana dapat membeli-belah buat kali terakhir dan sedih kerana tiada lagi Pasar Minggu Satok,” ujarnya.

Dia tidak menolak kemungkinan keadaan di Medan Niaga Satok pasti sesak dan turut menjadi tumpuan terutama penduduk di Petra Jaya.

“Saya yakin kedudukan yang terletak di sebelah Kubah Ria pasti menjadikan Medan Niaga Satok tumpuan masyarakat,” jelasnya.

Sementara itu, peniaga ikan terubuk Abdul Jalil Hassan berkata, operasi di lokasi baharu mungkin sukar buat permulaan kerana kebanyakan peniaga perlu mencari pelanggan setia.

“Ketika berniaga di sini (Pasar Minggu Satok) kami sudah ada pelanggan setia namun di sana nanti belum dapat diketahui corak perniagaan,” kata Abdul Jalil.

Tapak Pasar Tamu Satok akan dirobohkan bagi tujuan pembinaan taman mini untuk menggalakkan sektor pelancongan negeri ini.