Akses sama rata kepada maklumat tumpuan kementerian penerangan sepanjang 2012

0

KUALA LUMPUR: Setahun berlalu, liputan komunikasi negara ini terus berkembang luas hasil inisiatif Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta pihak-pihak berkepentingan dalam usaha merapatkan jurang digital di kalangan rakyat.

Terbaru, kadar penembusan jalur lebar kebangsaan dilaporkan telah mencapai 64 peratus bagi setiap 100 isi rumah sehingga akhir tahun ini.

Statistik terkini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan terdapat 6.19 juta langganan jalur lebar daripada 28.9 juta penduduk negara ini pada suku ketiga 2012, sama ada menerusi langganan tetap berwayar, tidak berwayar atau melalui Netbook 1Malaysia.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding 5.69 juta langganan yang dicatatkan pada penghujung 2011.

Tidak hanya bertumpu di Semenanjung dan kawasan bandar, usaha memperluas liputan komunikasi di Sabah dan Sarawak turut membuahkan hasil dengan kadar penembusan jalur sebanyak 47 peratus dan 48.5 peratus masing-masing tahun ini, iaitu menghampiri sasaran 50 peratus yang ditetapkan kerajaan.

Tanpa mengenal jemu, kementerian turut memperkenalkan Pakej Mampu Milik Jalur Lebar 1Malaysia mulai 16 Sept lepas dengan harga rendah di lima negeri yang masih belum mencapai sasaran kadar penembusan 64 peratus iaitu Sabah, Sarawak, Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Pakej itu menawarkan harga serendah RM20 sebulan untuk perkhidmatan tanpa wayar dan RM38 sebulan untuk perkhidmatan berwayar bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia menikmati dunia maklumat tanpa sempadan.

Melangkah ke hadapan, kerajaan turut mensasarkan 1.5 juta Netbook 1Malaysia diagihkan kepada mereka yang layak di seluruh negara dengan lebih 800,000 unit telahpun diedarkan sehingga Disember 2012.

Lebih 3,100 Kampung Tanpa Wayar pula telah diwujudkan tahun ini bagi memenuhi sasaran 4,000 buah tahun depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Belanjawan 2013 September lepas, mengumumkan pemberian rebat RM200 secara ‘one-off’ atau sekali sahaja bagi golongan belia berumur 21 hingga 30 tahun untuk membeli seunit telefon mudah alih pintar 3G yang bertujuan membuka akses maklumat kepada mereka.

Rebat itu ditawarkan bagi pembelian sebuah model telefon pintar 3G yang diluluskan dengan harga maksimum RM500.

Usaha Datuk Seri Dr Rais Yatim, yang menerajui kementerian yang mempunyai 18 agensi dan jabatan di bawahnya, dalam memperluas industri telekomunikasi juga tidak harus dipandang sebelah mata.

Sebagai seorang menteri yang berpengalaman, beliau tidak pernah terlepas daripada menghadiri persidangan-persidangan antarabangsa tidak kira sama ada berkaitan penerangan, komunikasi mahupun kebudayaan.

Hasil kehadirannya di setiap persidangan yang dihadiri serta inspirasinya untuk melihat sektor komunikasi dan kebudayaan yang unggul sentiasa disampaikan kepada jentera kementerian agar hasrat itu dapat dilaksana.

Beliau juga turut memulakan inisiatif perpaduan melalui seni budaya antara Malaysia dan Indonesia dan mencadangkan program kerjasama pertukaran wartawan, budayawan serta pelajar dalam usaha mengukuhkan lagi hubungan di peringkat rakyat dengan rakyat di kedua-dua negara.

Melalui program titian muhibah itu, mereka berpeluang ditempatkan dalam kumpulan masyarakat di kedua-dua negara untuk mempelajari dan memahami budaya hidup yang diamalkan oleh kumpulan masyarakat tertentu, yang mempunyai banyak persamaan.

Beralih kepada usaha menyatukan masyarakat Malaysia, kejayaan kementerian menganjurkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 pada 31 Ogos dan Perhimpunan Merdeka 55: Janji Ditepati tidak boleh diketepikan.

Bukan sahaja Dataran Merdeka dibanjiri segenap lapisan masyarakat, malah Stadium Nasional Bukit Jalil turut menjadi saksi perpaduan rakyat dalam menyambut ulang tahun Malaysia bebas daripada cengkaman penjajah dan hidup dalam aman serta harmoni.

Tidak ketinggalan, sambutan perayaan di peringkat nasional kendalian kementerian di bawah jenama “Rumah Terbuka Malaysia” bagi perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali pada tahun ini juga berjaya mengumpulkan ratusan ribu rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum. (Sambutan Krismas pada 31 Dis di Dataran Merdeka).

Daripada aspek perundangan, pengumuman bahawa Akta Perlindungan Data Peribadi akan berkuatkuasa 1 Jan ini turut menarik perhatian umum kerana ia bakal melindungi kepentingan individu dan memelihara maklumat peribadi milik mereka supaya tidak lagi disalah-guna oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Bagi mentadbir undang-undang itu, Jabatan Perlindungan Data Peribadi telah ditubuh pada 16 Mei 2011 dan mereka yang didapati bersalah di bawah akta itu boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda RM300,000 atau kedua-duanya.

Penggabungan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Jabatan Filem Negara Malaysia pula dilihat sebagai usaha mewujudkan satu perbadanan perfileman yang tunggal apabila ia termaktub di bawah Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pindaan) 2012 yang diluluskan di Dewan Rakyat, November lepas.

Bagi memelihara kebajikan penggiat seni tempatan, kementerian turut merancang mewujudkan skim insurans bagi pelakon dan pemuzik veteran serta kru produksi filem dalam negara.

Harga jualan produk visual tempatan kepada penyiar dalam negara juga akan diselaras demi membantu industri perfileman negara mencapai tahap lebih baik seperti dinikmati industri filem luar negara.

Tahun 2012 turut menyaksikan Istana Budaya terus melakar kejayaan dengan pementasan berkualiti tinggi seperti “Tun Siti Hasmah – Dari Hati Seorang Wanita” yang diadakan pada 9 hingga 19 Nov lepas.

Berikutan sambutan yang menggalakkan termasuk daripada golongan muda, pementasan itu diadakan semula pada 29 Nov hingga 3 Dis, sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012.

Ternyata, usaha Istana Budaya memartabatkan industri kreatif mendapat manfaatnya apabila berjaya mencapai sasaran 140,000 penonton yang ditetapkan tahun ini. — Bernama