Site Last Updated 2:23 pm, Wednesday

Golongan siswa perlu didedah dengan program murni k’jaan

Posted on January 1, 2013, Tuesday

KANGAR: Golongan siswa perlu didedahkan dengan program murni kerajaan supaya mereka dapat memanfaatkannya untuk menjadi insan yang gemilang, kata Pengarah Penerangan Perlis, Mohamed Lokman Mahmud.

Menurutnya, masih ramai siswa yang tidak menyedari bahawa banyak kemudahan yang mereka nikmati adalah hasil daripada program kerajaan untuk membangunkan golongan pelajar.

Bercakap kepada para pemberita selepas berakhirnya program Gemilang Siswa 2012 Jabatan Penerangan Negeri Perlis di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Ulu Pauh dekat sini, beliau bimbang tanpa pendedahan itu, para siswa akan mudah terpengaruh dengan dakyah yang merugikan masa depan mereka.

Katanya, melalui program terancang kerajaan itu juga, para siswa dapat menilai pelbagai usaha murni kerajaan yang bukan sahaja membantu para siswa, malah rakyat negara ini secara keseluruhannya.

Pada program sehari itu, para peserta program turut didedahkan dengan peranan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui ceramah oleh Pengurus Besar Kanan Pejabat Operasi Cawangan PTPTN, Tuan Din Tuan Mat.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Tuan Din berkata, pihaknya kini sedang giat mempromosikan program ‘PTPTN Dekat Di Hati’ yang menawarkan Skim Pembiayaan Pendidikan, diskaun bayaran balik Pembiayaan, Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dan simpanan Bonanza.

Beliau berkata, PTPTN juga kini semakin dekat dengan penduduk di utara Semenanjung apabila pejabat cawangannya beroperasi di Jalan Tunku Ibrahim, Alor Setar, Kedah sejak dua bulan lalu.

Program Gemilang Siswa itu dirasmikan Senator Shukor Sultan yang mewakili Menteri Besar Perlis dan semasa ucapannya menyentuh tentang tanggungjawab siswa menghayati Rukun Negara sebagai landasan membina insan yang gemilang.

Katanya, prinsip Rukun Negara bukan sekadar perlu dihafal tetapi dihayati dengan ikhlas supaya membentuk jati diri dan semangat patriotisme yang tinggi kepada negara. — Bernama

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.

3

13

Updated 08:39 AM, 30 July

Print Friendly