Jangan ambil mudah kemakmuran dan kestabilan dinikmati

0

MIRI: Masyarakat berbilang kaum diingatkan agar tidak mengambil mudah kemakmuran dan kestabilan yang dinikmati hari ini kerana ia bukan datang begitu sahaja.

Setiausaha Politik Menteri Tenaga, Teknologi Hijau merangkap Pengerusi SUPP Cawangan Piasau Datuk Sebastian Ting berkata, masyarakat perlu mengekalkan perpaduan dan kestabilan kerana ia adalah tonggak utama untuk mencapai negara yang maju.

“Untuk terus bergerak ke hadapan, kita perlu memelihara perpaduan, keharmonian dan kestabilan.

“Pembangunan pesat yang dinikmati hari ini bukan datang bergolek, ia adalah hasil perpaduan, persefahaman dan ikatan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan perutusan sempena sambutan Tahun Baharu 2013 di sini semalam.

“Justeru menjadi tanggungjawab kita untuk mengekalkan suasana ini dan tidak membenarkan perkara negatif yang boleh menggangu rancangan pembangunan,” katanya sambil menambah tanggungjawab menjaga kestabilan dan keharmonian itu terletak di bahu semua rakyat.

Sebastian memberitahu, sejak mencapai kemerdekaan sehingga penggabungan membentuk Malaysia, Sarawak telah melalui fasa pembangunan yang begitu pesat.

Pembangunan pesat dan kestabilan politik itu menurut Sebastian, adalah hasil pemerintahan, pengurusan dan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) yang baik.

“Kini kita sedang bergerak ke hadapan untuk menjadi sebuah negara maju daripada sebuah negara sedang membangun.

“Ini semua tidak akan berlaku jika kita tidak mempunyai sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh seperti Barisan Nasional,” ujar Sebastian.

Mengulas lanjut, beliau berkata namun perjalanan untuk menjadi sebuah negara maju dan berkembang pesat tidak akan menjadi kenyataan jika kestabilan ini diganggu.

“Amat penting supaya kita jangan membiarkan elemen negatif menjejaskan apa yang sudah kerajaan rancang dan akan laksanakan.

“Sebaliknya kita harus kukuhkan demi masa depan kita dan anak-anak kita pada masa akan datang,” katanya.