Parlimen Sibuti bakal alami pembangunan pesat pada 2013

2

AHMAD Lai

MIRI: Parlimen Sibuti bakal mengalami pembangunan pesat pada 2013 berikutan banyak program pembangunan luar bandar telah dirancang selaras dengan pelaksanaan Belanjawan 2013.

Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang berkata antara projek pembangunan yang akan diberi keutamaan ialah peningkatan infrastruktur asas kawasan luar bandar.

“Inti pati Belanjawan 2013 lebih banyak menumpukan ke arah peningkatan taraf hidup rakyat luar bandar termasuk menyediakan pelbagai prasarana yang lebih lengkap setanding di bandar,” katanya dalam perutusan tahun 2013 semalam.

Beliau juga mengharapkan tahun 2013 bakal membawa perubahan yang lebih ketara terutama dari segi pembangunan ekonomi dan sosial penduduk di kawasan luar bandar.

“Apa yang lebih penting ialah jurang kemajuan antara bandar dan luar bandar semakin rapat kerana apa sahaja kemudahan yang dinikmati di bandar akan turut dirasai di kawasan luar bandar,” jelasnya.

Tambahnya, jika sebelum ini hanya penduduk bandar menikmati kemudahan bekalan elektrik dan air bersih secara berterusan, namun ia kini turut dinikmati penduduk luar bandar.

“Sasaran kerajaan ialah pada tahun 2013, kira-kira 90 hingga 95 peratus kawasan Sibuti dilengkapi dengan kemudahan air dan elektrik khasnya di kawasan terpencil,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu, sehingga semalam, kira-kira 75 peratus kemudahan asas terbabit telah sampai ke kawasan Parlimen Sibuti dan ia dijangka akan bertambah pada 2013.

“Saya berterima kasih kepada rakyat Sibuti kerana terus menyokong perjuangan Barisan Nasional dalam usaha menaik taraf kehidupan mereka ke arah yang lebih baik,” katanya.

Pada masa sama katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud ingin melihat Sibuti mencapai peningkatan dalam semua usaha kerajaan.

“Ia termasuk jurang digital dalam perkhidmatan teknologi maklumat seperti kemudahan WiFi atau kemudahan Internet sampai ke Sibuti sejajar dengan hasrat kerajaan melahirkan insan bermaklumat,” jelasnya.

Selain infrastruktur, kerajaan katanya turut menitik berat pembangunan pendidikan luar bandar, ekonomi dan kebajikan sosial penduduk Sibuti.

“Kerajaan membantu golongan ibu tunggal, balu, orang miskin dan sebagainya supaya mereka tidak berasa tercicir manakala golongan belia turut dibantu untuk memulakan dan memajukan perniagaan,” jelasnya.