Atasi masalah bangunan sekolah uzur di negeri ini

0

K’jaan negeri harus tampil membantu bukannya mengharapkan k’jaan persekutuan semata-mata

KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menggesa kerajaan negeri membantu kerajaan persekutuan mengatasi masalah keadaan bangunan sekolah yang uzur di negeri ini.

Pengerusinya Baru Bian berkata dalam aspek pendidikan kerajaan negeri harus tampil membantu bukannya mengharapkan bantuan daripada kerajaan persekutuan semata-mata.

“Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu saya ada mencadangkan agar kerajaan negeri membantu dalam pembangunan aspek pendidikan kerana kalau menungggu bantuan daripada kerajaan persekutuan memang sangat lambat sedangkan kerja-kerja membaik pulih perlu dilakukan dengan segera.

“Pendidikan adalah aspek yang sangat penting dan ia tidak boleh dipandang ringan,” katanya ketika mengulas mengenai keadaan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bau yang uzur sehingga membahayakan penghuninya.

Baru yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kalalan berkata beliau amat terkejut apabila dimaklumkan mengenai keadaan sekolah berkenaan memandangkan ia hanya terletak beberapa kilometer dari pekan Bau.

“Saya sangat terkejut kerana SMK Bau adalah sekolah menengah yang pertama beroperasi di daerah Bau tetapi keadaan asramanya amat uzur.

“Bagi saya ini bukan masalah terpencil kerana percaya ada lagi sekolah-sekolah lain terutama di pedalaman berdepan situasi sama.

“Sedihnya Sarawak sudah 50 tahun maju dalam Malaysia tetapi masih berdepan masalah seperti ini,” ujarnya.

Beliau juga percaya Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak ada masa lagi untuk memberi peruntukan kepada sekolah berkenaan jika mengambil kira Pilihan Raya Umum Ke-13 akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

“Kerajaan tidak ada masa lagi untuk memberi geran.

Sementara itu Ahli Jawatankuasa PKR Cabang Mas Gading Boniface Willy Tumek pada sidang media sama memberitahu, dua blok asrama sekolah berkenaan yang menempatkan pelajar lelaki Tingkatan Satu hampir kesemua pintunya berlubang, tanpa almari dan lampu.

“Sistem pendawaian di asrama ini juga amat berbahaya dan terdapat beberapa notis ditulis oleh warden asrama yang melarang pelajar bermain dengan dawai elektrik yang tidak dalam keadaan sepatutnya bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Menurut pihak sekolah, permohonan telah diajukan kepada Kementerian Pelajaran sejak beberapa tahun lalu tetapi sehingga kini tiada tindakan susulan diambil,” katanya.