Lubang bahayakan pengguna jalan raya

0

SIBU: Pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal memohon pihak berkuasa berkaitan mengambil tindakan segera menutupi lubang di sebelah kanan Jalan Lanang menuju ke pusat bandar.

Menurut seorang penunggang motosikal yang hanya ingin dikenali sebagai Lau, ini penting memandangkan lubang itu semakin membahayakan penunggang motosikal terutama pada waktu malam.

“Keadaan lubang itu semakin lama dilihat semakin dalam dan membahayakan penunggang motosikal dan basikal terutama pada malam hari.

“Lubang rosak yang semakin dalam itu turut menyebabkan penunggang motosikal dan basikal mudah hilang kawalan setelah melanggar lubang tersebut tanpa disedari,” jelasnya.

Lau yang merupakan kakitangan sektor swasta berkata, situasi banjir yang melanda bandar Sibu pada Rabu lepas telah menyebabkan ramai pemandu kenderaan dan penunggang motosikal tidak menyedari akan lubang itu.

“Cubang bayangkan, situasi ini akan berubah menjadi mimpi buruk sekiranya penunggang motosikal membawa anak kecil atau warga emas sebagai pembonceng motosikal.

“Anak-anak kecil turut akan terjatuh dari motosikal akibat impak terlanggar lubang berkenaan. Ini sangat membahayakan nyawa kita semua,” ujarnya yang menggunakan jalan terbabit untuk menghantar anak ke sekolah.

Salah seorang pengguna yang dikenali sebagai Fatimah Ali memeritahu, ketika dia memandu kereta menuju pusat bandar sekitar jam 12 tengah hari Rabu lepas bersama rakannya, dia dan penumpangnya terkejut ketika tayar kanan keretanya tiba-tiba melanggar lubang berkenaan.

“Sekiranya pihak berkenaan tidak dapat mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah ini, kerosakan lubang itu akan menjadi lebih serius termasuk menyebabkan seseorang cedera serius, malah mendatangkan kematian.

“Bagi saya kerosakan lubang itu ibarat perangkap kepada penunggang motosikal terutama pada waktu malam.

“Oleh itu, ia perlu diperbaiki demi keselamatan pengguna jalan lain,” ujarnya yang merupakan seorang pelajar.