PKR akan adakan Program Kebangkitan Rakyat Sarawak

0

BINTULU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan meng-adakan Program Kebangkitan Rakyat Sarawak di Bintulu dan Selangau pada 19 Januari ini, kata Ketua PKR Cawangan Bintulu Paul Anyie Raja.

Jelasnya, program yang dibahagikan kepada dua sesi iaitu tengah hari di Selangau dan sebelah petangnya di Bintulu dijangka akan dihadiri oleh Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali serta pemimpin parti yang lain dari kedua-dua kawasan.

“Bagi kawasan Selangau, PKR akan mengadakan program di Rumah Lipu, Sungai Bawang yang akan bermula jam 12 tengah hari.

“Sejurus selesai program di situ, rombongan akan berge-rak ke Rumah Emperan, Sungai Serakit dalam daerah kecil Sebauh (Bintulu) bagi program sama yang dijangka bermula jam 6 petang,” ujarnya dalam sidang media di pejabat PKR Cawangan Bintulu di sini malam Rabu lepas.

Sambil menyifatkan program itu bakal memberi maklumat berguna kepada rakyat di kedua-dua kawasan terbabit, Paul menjangkakan tidak kurang daripada 1,000 orang akan menghadiri program terbabit.

Dakwanya, program yang diadakan ini akan membantu memberi kesedaran kepada penduduk di sini mengenai hak mereka sebagai pengundi iaitu mengundi calon yang benar-benar dirasakan layak boleh menjadi pemimpin dan bukannya mengundi kerana diumpan dengan wang ringgit atau projek yang dijanjikan.

“Apa yang penting program ini nantinya akan membolehkan rakyat mengundi dengan penuh kesedaran serta memilih calon yang benar-benar layak untuk menjadi pemimpin dan bukannya mengundi seseorang calon kerana dibeli serta dijanjikan dengan projek dan sebagainya,” katanya.

Justeru, Paul berharap pen-duduk di kawasan Selangau dan Bintulu dapat sama-sama menghadirkan diri bagi mendengar inti pati ceramah yang akan disampaikan dalam program itu nanti.

Jelasnya, bahang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) semakin terasa kerana akan diadakan pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.

Program Kebangkitan Rakyat Sarawak yang diadakan secara berperingkat-peringkat ini akan bermula pada hujung minggu ini iaitu di Marudi, Baram dan seterusnya di Mas Gading, Bau dan Kota Samarahan yang dijangka diketuai Ketua Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Program akan diteruskan ke bahagian Kapit merangkumi Song dan Belaga dan seterusnya ke Saratok, Betong, Sri Aman dan Lubok Antu.

Ketua Publisiti Parti Ken-nedy Paing dan Ketua PKR Kemena Ribi Rayang antara yang hadir.