400 peserta media sertai Media Hunt UMNO 2013

0

KUALA LUMPUR: Seramai 400 peserta daripada pelbagai pertubuhan media menyertai program ‘Media Hunt UMNO 2013’ sebagai menghargaiperanan media dalam membuat liputan perhimpunan agung UMNO 2012.

Para peserta yang menaiki 100 kenderaan itu dilepaskan Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan di Dataran Putra Pusat Dagangan Dunia Putra sebelum menghadapi cabaran berbentuk ‘explorace’ ke Melaka selama dua hari.

Antara penyertaan paling ramai ialah dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dengan 84 peserta, diikuti Radio televisyen Malaysia (RTM)dengan 52 peserta.

Ahmad berkata sepanjang perjalanan ke Melaka peserta dikehendaki menjawab soalan-soalan berkaitan prinsip perjuangan UMNO, dasar-dasar kerajaan serta pengetahuan am dan pemenang akan menerima hadiah RM10,000, tempat kedua RM8,000 dan RM6,000 bagi tempat ketiga.

“Program ini merupakan usaha UMNO untuk merapatkan lagi hubungan dengan media tempatan terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak lama lagi,”katanya kepada pemberita sebelum melepaskan peserta.

Beliau berkata peserta akan singgah di Negeri Sembilan dan diraikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan sebelum menyambungkembali perjalanan ke Melaka pada sebelah petang. — Bernama