Sistem perparitan punca banjir

0

BANJIR: Air masih bertakung dan memasuki rumah penduduk jam 6.30 petang semalam.

SIBU: Penduduk Lorong Bahagia Tengah 6, Bahagia Jaya Fasa 3, Teku di sini merayu pihak berkaitan untuk memperbaiki sistem perparitan yang didakwa menjadi punca masalah banjir di kampung tersebut.

Menurut seorang penduduk, Sarimah Wan Ahmad, 42, masalah itu menghantui penduduk kampung berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

“Setiap kali hujan turun dengan lebat, beginilah keadaan kami di sini.

“Air hujan yang bertakung didapati agak sukar untuk mengalir keluar atau surut,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, sistem perparitan yang tidak sempurna dan tidak pernah diselenggara adalah penyebab utama masalah tersebut yang dikatakan sudah lama melanda kampung berkenaan.

Sarimah memberitahu, bahagian bawah rumah akan dimasuki air dengan cepat akibat limpahan air dari parit berdekatan kerana tersumbat dan limpahan akan tertumpu ke kawasan rumah kerana lokasinya di hujung kampung.

“Tahun lalu sahaja saya mengalami kerugian hampir RM8,000 melibatkan kereta, perabot, barangan elektrik serta kos pembaikan rumah,” katanya.

Keadaan banjir ini melebihi 15 kali berlaku untuk tahun lalu sahaja.

Awal tahun 2013, kejadian ini terus membebankan penduduk di kawasan terbabit.

Jamilah Dollah, 40, berkata sistem perparitan yang tidak sempurna di mana rumput tumbuh liar di dalam parit adalah penghalang utama air untuk keluar.

Beliau menjelaskan, satu lagi masalah air lama bertakung serta mengambil masa untuk surut sehingga memakan masa beberapa hari untuk kembali pulih.

Penduduk juga dikejutkan penemuan\ reptilia (ular sawa) apabila berlaku keadaan itu.

“Saluran parit utama tertutup. Tambahan lagi, perancangan projek pembangunan perumahan baharu juga faktor permasalahan ini. Kelebaran parit tidak diperbesarkan,” ujar beliau.

Pelbagai aduan dibuat kepada pihak berkuasa tempatan mahupun JKKK malah masalah ini tidak diendah sama sekali, ibarat menutup sebelah mata.

“Pihak berkaitan perlu turun padang, lihat sendiri keadaan ini, khususnya JKKK yang perlu bertanggungjawab terhadap permasalahan dan kebajikan penduduk,” katanya.

Keadaan ini membebankan penduduk dari segi kewangan, tambahan musim persekolahan menyukarkan anak-anak ke sekolah.

Keadaan banjir itu berlaku disebabkan hujan yang turun sejak Khamis lalu.