Dua ahli PKR melobi untuk dicalonkan di Baram pada PRU13

0

MARUDI: Selain Roland Engan yang disebut-sebut sebagai bakal calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kerusi Baram, seorang lagi ahli parti itu yang sedang berusaha melobi sebagai calon di kerusi tersebut ialah Patrick Sibat Sujang.

Patrick yang menaruh harapan untuk dicalonkan sebagai calon PKR di Baram pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) memberitahu, beliau giat berkempen dari kampung ke kampung terutama di kawasan peng-undi Iban sejak beberapa bulan lepas.

Patrick yang merupakan seorang anak jati Baram daripada kaum Iban yang berasal dari Kuala Bok, Tinjar, pernah berdiri atas tiket Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) suatu ketika dahulu tetapi tewas di tangan mendiang Datuk Edward Jeli (SNAP-BN ketika itu).

Kini setelah lama me-nyepikan diri, beliau aktif semula dalam politik dengan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) beberapa bulan lepas.

Ketika ditemui semasa menghadiri Perhimpunan Jelajah Merdeka di Sarawak di Marudi bersama Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, Patrick memberitahu bahawa calon di Baram masih belum ditetapkan untuk siapa-siapa pun.

“Roland bukannya calon PKR yang sah dan kami berdua masing-masing masih melobi untuk dicalonkan.

“Ini terpulang kepada keputusan pihak atasan untuk menentukan siapa calon yang sesuai dan layak untuk mewakili parti,” katanya.

Yang nyata, Patrick amat yakin bahawa beliau akan dicalonkan manakala Roland pula disokong kuat oleh Ketua PKR Bahagian Miri Dr Michael Teo dan ahli-ahli PKR Cabang Baram sendiri.