FAMA digesa kekal sudut produk tidak halal di Medan Niaga Satok

1

KUCHING: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sarawak digesa mempertimbangkan semula keputusan yang tidak membenarkan penyediaan sudut niaga bagi produk tidak halal di Medan Niaga Satok.

Ketua Wanita PKR Negeri Nurhanim Mokhsen berkata disebabkan ketegasan tersebut, enam peniaga produk tidak halal yang meraih pendapatan di Pasar Minggu terjejas, walaupun mereka telah dipindahkan ke Pasar Komuniti Sungai Maong.

“FAMA perlu mempertimbangkan semula keputusan mereka yang tidak me-nubuhkan sudut penjualan produk tidak halal di Medan Niaga Satok kerana sejak 30 tahun lalu, kita telah menjadikan Pasar Minggu sebagai tarikan pelancong dan masyarakat tempatan.

“Apabila orang bukan Islam pergi ke Pasar Minggu ini, mereka juga boleh membeli segala-galanya di sana.

“Namun, dengan sekatan yang dibuat itu, mereka kini perlu pergi ke tempat lain untuk membeli produk tidak halal yang diingini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau kemudian menjelaskan bahawa penjualan produk tidak halal di Medan Niaga Satok hanya perlu pada Sabtu dan Ahad sahaja.

Menurut Nurhanim, Sayap Wanita PKR baru-baru ini telah mengadakan perbinca-ngan dengan FAMA bagi mencari penyelesaian tersebut namun alasan yang diberikan adalah Medan Niaga Satok yang terletak di Petra Jaya di mana 80 peratus daripada penduduk adalah Melayu dan produk tidak halal tidak boleh dijual di situ.

“Kami agak terkejut kerana daripada pemahaman kami, Medan Niaga Satok adalah lokasi baharu untuk peniaga Pasar Minggu, jadi mengapa mereka perlu mengecualikan enam peniaga produk tidak halal ini… mereka perlu menampung kehidupan,” katanya.

Katanya beliau tidak memahami rasional penjelasan yang diberikan kerana jika pihak berkuasa bercakap tentang Medan Niaga Satok terletak di kawasan majoriti Muslim, harus diingatkan bahawa Pasar Minggu Satok juga berada di kawasan sama.

Nurhanim kemudiannya menyifatkan tindakan tersebut merupakan sekatan budaya tempatan oleh FAMA terhadap masyarakat negeri ini sedangkan rakyat tidak mempunyai masalah duduk bersama untuk makan walaupun berbeza agama dan bangsa