Dakwaan pembangkang tidak benar

3

Ahli Parlimen Sarawak tidak pernah gagal menyuarakan masalah rakyat 

KUCHING: Ahli Parlimen Sarawak tidak pernah gagal menyuarakan masalah rakyat di kawasan masing-masing dalam dewan seperti yang didakwa oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata terdapat dua cara untuk Ahli Parlimen menyuarakan masalah rakyat iaitu  ber-ucap dalam dewan ketika belanjawan atau berbincang secara terus dengan Perdana Menteri atau menteri-menteri.

“Terdapat dua perkara dalam hal ini, pertama Ahli Parlimen seperti saya tidak boleh bercakap tetapi bagaimana saya boleh me-laksanakan tugas saya di Parlimen?

“Saya boleh berbincang dengan Perdana Menteri atau menteri. Berucap dalam dewan adalah satu majlis, tetapi untuk mencari bantuan untuk rakyat Ahli Parlimen boleh berbincang terus dengan menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian baik pulih rumah nelayan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Buntal di Dewan Serba Guna Kampung Salak di sini semalam.

Tambah Wan Junaidi, setiap Ahli Parlimen Sarawak ada berucap semasa belanja-wan.

Anwar tidak berada dalam dewan sepanjang masa justeru beliau tidak sedar apa yang berlaku dalam dewan.

“Setiap Ahli Parlimen Sarawak berucap pada masa belanjawan daripada soal parit, jalan, sekolah, elektrik, pertanian, perikanan, semua ini adalah antara perkara yang dekat di hati Ahli-ahli Parlimen kita.

“Justeru adalah tidak wajar untuk penasihat PKR itu mengatakan Ahli Parlimen Sarawak tidak membawa perkara ini kepada Parlimen,” ujarnya.

Dalam perkara berkaitan Wan Junaidi yang juga merupakan ahli Parlimen Santubong menasihati rakyat di negeri ini supaya tidak percaya dengan janji-janji kosong DAP dalam percubaan mereka menawan 10 kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

“Satu sahaja nasihat saya, sepanjang DAP di negeri ini mana tiang yang didirikan, mana jambatan yang dibina, mana rumah bantuan rakyat yang dibina dan mana pukat yang mereka beli?

“Tidak ada… mulut sahaja besar kerja tidak ada. Bercakap berapi-api tetapi tidak menyusul kepada kementerian tidak cukup. Ini semua omongan kosong sahaja,” katanya sebagai membidas percubaan DAP menawan 10 kerusi Parlimen di negeri ini pada PRU13.