22 keluarga dipindah rumah panjang berisiko dilanda banjir

0

ROBAN: Sebanyak 22 keluarga yang terdiri daripada 100 orang dari Rumah Steward, Jelupang Sungai Nyiar, Roban telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara di Dewan Masyarakat Roban, malam kelmarin.

Pemindahan ini dilakukan berikutan kedudukan rumah panjang ter-babit yang terletak di tebing Sungai Seblak, berisiko tinggi dilanda banjir yang mampu mengundang pelbagai bahaya.

Ini berikutan hujan lebat yang turun tanpa henti sejak Rabu lalu hingga semalam dan pertembungan air pasang besar di sungai terbabit.

Menurut Pegawai Jabatan Hal Eh-wal Khas (JASA) Saratok Kassim Tomik yang dihubungi semalam, aktiviti pemindahan tersebut telah dijalankan sejak petang kelmarin.

“Berikutan paras air Sungai Seblak yang telah naik hingga ke paras berjaga-jaga, penduduk di rumah panjang berkenaan telah diarah berpindah dengan segera kerana rumah panjang berkenaan terletak di kawasan berisiko dilanda banjir berdasarkan pemantauan pihak berkaitan.

“Berkemungkinan juga penduduk dari rumah panjang berkenaan akan tinggal di pusat ini dalam tempoh sehari dua lagi, hingga situasi di rumah panjang terbabit benar-benar selamat untuk mereka diami semula,” kata-nya.

Kassim berkata, aktiviti pengurusan dan pengendalian mangsa banjir di pusat pemindahan tersebut melibatkan kerjasama daripada pejabat JASA Daerah Saratok, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Saratok, Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pemimpin tempatan.

Sementara itu, pihak Jawatankuasa Bencana Peringkat Daerah Kecil Roban yang turut dihubungi memaklumkan bahawa pusat pemindahan ini akan dibuka selama 24 jam bermula petang kelmarin bagi menghadapi sebarang kejadian banjir yang berlaku di daerah terbabit.

Katanya keadaan hujan yang turun beberapa hari lalu hingga semalam menyebabkan beberapa kawasan rendah di sini dinaiki air.

“Kebimbangan kami terhadap per-kara yang buruk akan berlaku akibat kejadian itu adalah disebabkan pertembungan air pasang besar mungkin berlaku pada petang ini (semalam) dan esok (hari ini) iaitu pada sekitar jam 5 petang hingga 10 malam.

“Kami tidak mahu penduduk yang berisiko dilanda banjir seperti dari Rumah Jelupang tinggal di kediaman mereka yang berisiko dan berbahaya,” kata jurucakap terbabit.

Menurutnya pihak jawatankuasa turut menasihati orang ramai yang tinggal di kawasan rendah dan be-risiko dilanda banjir atau yang tinggal berhampiran sungai agar berhati-hati sepanjang masa dan memantau paras air di sungai-sungai berhampiran.

Dalam pemantauan ke pusat ter-babit, turut dimaklumkan bahawa beberapa rumah di Kampung Melayu Roban juga dinaiki air.