Wong Ho Leng mengalami ketumbuhan pada otak

0

SIBU: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Wong Ho Leng menjelaskan keadaan sebenar berhubung tahap kesihatannya selepas pelbagai spekulasi dalam akhbar berhubung keadaan kesihatannya, baru-baru ini.

Semuanya terjawab apabila Wong mengesahkan bahawa beliau mengalami ketumbuhan (tumor) pada otak pe-ringkat awal selepas menjalani pemeriksaan pada 20 Disember tahun lalu.

“Pada 20 Disember lalu, pakar bedah saraf telah menjumpai ‘glioma’ di dalam otak saya. Glioma ini masih pada peringkat awal dan tidak akan merebak ke bahagian lain.

“Ia juga menyebabkan saya mengalami kesukaran untuk bercakap dan melemahkan fungsi otot-otot tekak. Ia perlu dirawat,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Ahli Parlimen Sibu itu berkata, selepas mendapatkan pandangan kali kedua daripada pakar saraf tempatan, beliau telah mendapatkan rawatan radioterapi dan kemoterapi di Singapura bermula 8 Januari bagi tempoh enam minggu.

Wong memberitahu, meskipun rawatan hanya pada peringkat awal, beliau telah merasakan kesan positif daripada rawatan dan berasa lebih sihat.

“Saya yakin dapat sembuh sepenuhnya dan sedar saya tidak keseora-ngan dalam menempuh semua ini.

“Dengan berkat Tuhan dan doa daripada semua, saya yakin dapat bangkit daripada semua ini,” kata-nya yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Assek.

Beliau juga berterima kasih kepada semua pihak yang menunjukkan simpati, termasuk ahli-ahli parti dan penyokong yang sentiasa mendoakannya dan juga keluarga.

Wong juga menasihati ahli-ahli serta penyokong parti agar tidak bimbang dengan apa yang berlaku kepadanya, sebaliknya menjadikan apa yang berlaku sebagai satu kekuatan kepada mereka.

“Misi kita adalah transformasi politik. Ini tidak dapat dicapai oleh seorang sahaja tetapi usaha padu semua ahli parti, penyokong dan sebagainya.

“Saya berjanji akan terus berjuang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan mengetuai perjuangan ini menentang Barisan Nasional (BN) di Sarawak. Kita harus berusaha gigih bagi melihat perubahan kerajaan di Putrajaya.

“Kita harus berusaha dalam konteks yang lebih luas, untuk masa depan negara kita, anak-anak dan ge-nerasi akan datang,” katanya sambil menambah turut mempertahankan kerusi Parlimen Sibu.

Semasa mendapatkan rawatan, Wong memberitahu tidak dapat menjalankan tugasnya seperti biasa dan apa-apa perkara boleh dirujuk ke- pada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan David Wong dan ADUN Dudong Yap Hoi Liong.