DAP masih kuat di Sibu

0

PKR percaya sokongan rakyat masih memihak kepada Wong meskipun beliau sedang sakit

SIBU: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tan Sri Datuk Abdul Khalid Ibrahim yakin bahawa Parti Tindakan Demokratik (DAP) masih kuat di sini meskipun Pengerusinya Wong Ho Leng terpaksa ‘berehat’ panjang kerana mengalami ketumbuhan (tumor) pada otaknya.

“Ia sedikit pun tidak melemahkan DAP, khasnya sokongan rakyat. Pakatan Rakyat (PR) percaya sokongan rakyat masih lagi memihak kepada Wong meskipun beliau sakit.

“Atas keyakinan Wong yang meluahkan masalahnya pada sidang media di sini kelmarin, ia menunjukkan bahawa beliau betul-betul bersemangat dan kami yakin bahawa tiada calon yang diletakkan untuk menggantikannya.

“Beliau masih kuat dan bersedia untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) selepas keadaannya pulih seperti biasa,” katanya pada Majlis Makan Tengah Hari Bersama Pemimpin PKR Wilayah Tengah, di sini semalam.

Hadir sama Naib Pengerusi PKR Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian Ali Biju serta para pemimpin parti yang lain.

Abdul Khalid yang juga Menteri Besar Selangor berkata, perjuangan DAP di Sibu khasnya belum berakhir dan jangan menganggap Wong yang sakit itu adalah peluang untuk Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi Parlimen Sibu.

“Wong bukanlah calang-calang orang. Dia bersemangat dan ini dilihat bukan satu peluang untuk BN kerana masalah yang dialaminya, sedikit pun tidak melemahkan semangat kami untuk terus mempertahankan Parlimen Sibu,” jelasnya.

Beliau turut berharap Wong dapat cepat sembuh serta menjalani kehidupan seperti biasa agar dapat meneruskan perjuangannya bersama-sama rakan lain.

Mengenai perkara lain, Abdul Khalid memberi amaran kepada pihak tertentu agar tidak berlaku sikap lobi-melobi sesama parti dan mengambil peluang terhadap berita Wong yang sakit itu.

“PR amnya percaya bahawa Wong masih dapat meneruskan perjuangannya.

“Dia cuma ‘cuti’ untuk mendapatkan rawatan sahaja. Justeru, pihak tertentu diingatkan agar tidak mengambil peluang ini,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa PR kini memperolehi banyak sokongan daripada golongan belia kerana golongan itu mempunyai fikiran terbuka dan inginkan perubahan.

Beliau menjelaskan, perhimpunan yang diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur Sabtu lalu kebanyakannya disertai golongan belia.

“Inilah antara senjata untuk kami menghadapi PRU13 yang akan datang. PR banyak mendapat sokongan daripada golongan belia baik di Semanjung Malaysia mahupun di negeri ini.

“PR sudah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang, cuma kami masih belum mengumumkan nama calon.

“Penentuan nama calon kami masih lagi dalam perbincangan. Tetapi, daripada strategi menghadapi PRU13, kami sudah sedia,” katanya.