Site Last Updated 11:19 am, Tuesday

Risau kejadian tanah runtuh berulang

by Kepu Sidi. Posted on January 14, 2013, Monday

Penduduk Rumah Undi berhadapan tanah runtuh selepas kejadian pada 2006

SARATOK: Kira-kira 200 penduduk Rumah Undi, Brayang Kemuntang, kini berhadapan risiko tanah runtuh untuk kali kedua selepas kejadian pertama berlaku pada 2006.

Kejadian tanah runtuh ini berlaku melibatkan bahagian tepi rumah panjang terbabit yang didiami sejumlah 19 pintu bilik keluarga.

Berikutan cuaca hujan yang turun tanpa henti sejak Rabu lalu, penduduk rumah panjang terbabit bimbang kejadian pada 2006 berulang kembali dan menjadi lebih parah.

Penduduk, Linggoh Ampak, 50, berkata jarak tanah runtuh tersebut dengan bahagian tepi rumah panjang mereka adalah hanya dalam lingkungan lebih kurang 15 meter sahaja.

“Perkara paling berisiko berlaku sekiranya kejadian ini berulang ialah jalan utama menjadi penghubung utama penduduk rumah panjang turut runtuh, tiang elektrik yang terletak berhampiran juga berisiko untuk tumbang dan bekalan air terletak di bahagian tepi jalan juga akan putus dan rosak.

“Risiko yang berlaku bukan setakat itu sahaja jika masalah ini tidak dibendung awal, malah membabitkan bahaya terhadap nyawa penduduk,” kata Linggoh ketika ditemui pemberita di rumah panjang terbabit, semalam.

Tambahnya, tanah di kawasan terbabit mengalami tanda pemendapan sejak beberapa hari lalu berikutan kejadian hujan turun tanpa henti.

Bagi Tugau Jalin, 65, kejadian tanah runtuh pertama pada 2006 telah mengakibatkan tanah di tempat sama ‘hanyut’ dan terhakis ke bahagian lembah berhampiran.

“Namun pada kali ini, ia berlaku semakin dekat dengan kawasan rumah dan bagi kami penduduk rumah panjang ia seumpama jerangkap samar yang boleh meletup dan mengorbankan mangsanya pada bila-bila masa sahaja.

“Dalam kejadian pertama tanah runtuh (2006) terbabit, kami pernah laporkan kepada pihak berkaitan untuk melakukan pemantauan agar tindakan selanjutnya dapat diambil.

“Sebaik sahaja laporan tersebut dibuat, satu pasukan daripada pihak jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Saratok telah memantau tapak tersebut dan mengambil sampel tanah dari kawasan berdekatan,” katanya.

Menurut Tugau, usaha tersebut hanya setakat itu sahaja dan hingga hari ini tiada sebarang tindakan susulan diambil.

Sementara itu, menurut Chakut Linggoh, 64, tanah di tempat terbabit mula terhakis sedikit demi sedikit sejak penghujung Disember lalu.

“Hujan yang turun agak kerap kebelakangan ini menimbulkan kerisauan penduduk, termasuk saya.

“Jika hujan turun dengan lebat, fikiran saya asyik terbayangkan sesuatu yang tidak baik berlaku seperti jalan runtuh dan tiang elektrik tumbang menimpa rumah serta mengakibatkan kejadian sampingan berlaku seperti kejutan elektrik dan kebakaran akibat aliran elektrik,” ujarnya.

Pada masa yang sama, para penduduk di rumah panjang berkenaan berharap pihak berkaitan berusaha menyelesaikan kesulitan mereka hadapi kini serta tidak menunggu perkara buruk berlaku baharu hendak bertindak.

Tinjauan pemberita di lokasi yang dimaksudkan mendapati terdapat beberapa tanda-tanda baharu menunjukkan tanah di kawasan terbabit menggelongsor dan jalan berhampiran turut mendap.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.