Gunakan bantuan RM100 bagi persekolahan anak-anak

0

KUCHING: Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 yang mula disalurkan kepada semua pelajar hari ini harus digunakan sepenuhnya bagi persekolahan anak-anak bukan untuk tujuan lain.

Yang Dipertua Persatuan Majlis Permuafakatan Ibu Bapa dan Guru Malaysia (MAPIM) Cawangan Sarawak Wan Zain Syed Mohdzar berkata pemberian kerajaan itu adalah untuk meringankan beban ibu bapa menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak.

“Ibu bapa diingatkan supaya jangan menggunakan bantuan tersebut untuk perbelanjaan lain selain daripada kegunaan dana aktiviti–aktiviti sekolah.

“Bagi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan awam tahun ini, sudah tentu banyak memerlukan wang untuk membekalkan bahan-bahan pelajaran yang boleh membantu mereka mengulang kaji.

“Begitu juga untuk menghadiri kelas pemulihan sudah tentu mereka memerlukan bahan tamabahn untuk meningkatan kefahaman mereka,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau juga memberitahu bahawa pihak sekolah boleh mengambil sebahagian daripada wang bantuan itu jika ia digunakan untuk membiayai aktiviti kurikulum dan kokurikulum serta disimpan dalam akaun khas.

Pihak sekolah juga katanya harus memaklumkan kepada ibu bapa mengenai tujuan pemotongan  tersebut bagi mengelak salah faham.

“Daripada pengalaman saya adalah amat sukat untuk membuat kutipan daripada segelintir ibu bapa jika sekolah mahu membeli buku kerja yang perlu digunakan.

“Dalam hal ini ramai pendidik terpaksa membelanjakan wang sendiri demi membantu anak didik mereka untuk maju dalam pelajaran terutama di peringkat sekolah rendah.

“Tujuan pemotongan mesti jelas dan ibu bapa wajib mengetahui sebab musabab potongan dibuat. Jangan pula dah potong minta bayar semula. Sekiranya situasi ini berlaku persatuan tidak setuju sekolah memotong sebahagian daripada wang bantuan pelajar,” ujarnya.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi kelmarin memberitahu, sejumlah RM489 juta peruntukan disediakan bagi Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 kepada setiap 4.98 juta pelajar di seluruh negara.

Bantuan itu akan mula disalurkan hari ini secara berperingkat-peringkat sehingga 15 Februari depan.

Mohd Puad memberitahu, peruntukan sebenar disediakan bagi 2013 adalah RM540 juta termasuk untuk pelajar sekolah swasta dan sekolah agama rakyat tetapi kementerian belum  menerima jumlah sebenar pelajar berkenaan.