Pemuda ditangkap kerana disyaki miliki dua keping kad pengenalan

0

MIRI: Seorang pemuda yang ditangkap kerana disyaki memiliki dua keping kad pengenalan milik dua individu lain diperintahkan Mahkamah Majistret pagi semalam supaya direman dua hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Perintah itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Rendah Haizah Tamin setelah membenarkan permohonan reman yang dikemukakan Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Syukri Sidi daripada Balai Polis Pusat Miri.

Dalam permohonannya, Syukri memberitahu bahawa pada 11 Januari lalu, seorang pegawai kanan polis telah membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri yang menyatakan sekitar jam 3.30 petang hari sama, semasa melakukan soal siasat ke atas seorang suspek, pengadu mendapati semua barangan rampasan berhubung satu laporan polis di Balai Lutong adalah milik suspek.

Barangan itu terdiri daripada sebuah dompet jenama Timberland berwarna coklat yang mengandungi beberapa dokumen peribadi termasuk MyKad kepunyaan seorang wanita dan satu lagi dompet jenama Arrow berwarna hitam mengandungi sekeping MyKad kepunyaan seorang lelaki.

Kedua-dua Mykad itu kemudian dirampas untuk dijadikan barang kes di bawah Seksyen 25 (1) (o) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana memiliki kad pengenalan kepunyaan orang lain.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 1 petang, 13 Januari lalu di pekarangan Balai Polis Pusat Miri, polis telah menangkap suspek terbabit untuk disoal siasat lanjut berhubung kes ini.

Dalam permohonan lanjutnya, Syukri memberitahu bahawa reman selama empat hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas suspek yang berusia 25 tahun dari Bandar Baru Permyjaya di sini amat diperlukan untuk membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini.

Selain itu, polis masih memerlukan masa untuk membuat pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung dua keping MyKad yang dirampas daripada suspek.

Tambahan percakapan berhemat suspek masih belum dirakam dan membebaskan dia lebih awal akan menjejaskan siasatan lanjut polis.

Bagaimanapun mahkamah hanya membenarkan reman dua hari dan memerintahkan suspek dihadapkan ke mahkamah pada 16 Januari ini untuk sebutan kes.