GERAKAN mahu ketetapan muktamad isu garis panduan persembahan

0

ALOR SETAR: Pemuda GERAKAN Kedah semalam mahu kerajaan negeri menyelesaikan segera isu berhubung garis panduan persembahan kerana larangan yang ditetapkan itu ada yang didapati tidak wajar bagi masyarakat bukan Islam di negeri ini.

Ketuanya Tan Keng Liang berkata, kerajaan negeri perlu membuat ketetapan muktamad dan bukannya keputusan sementara yang tidak jelas yang mengelirukan masyarakat bukan Islam di negeri ini.

Pada 9 Januari, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah mengeluarkan garis panduan menetapkan cara berpakaian pegawai dan artis hendaklah bersopan serta ti-dak menjolok mata, dan hanya artis lelaki dibenarkan membuat persembahan nyanyian atau tarian manakala bagi artis wanita, hanya di peringkat umur persekolahan menengah sahaja dibenarkan.

Jika berlaku nyanyian dan tarian yang melampau, pihak kerajaan negeri berhak menghentikan program yang dijalankan dengan serta merta.

Bagaimanapun, Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam sidang media semalam berkata kerajaan negeri membenarkan wanita mengadakan persembahan dan penyanyi juga dibenarkan menyanyi mana-mana lagu yang sesuai bagi acara tersebut. — Bernama