Norkiah tetamu kehormat Majlis Makan Malam ACWW

0

MIRI: Isteri Yang di-Pertua Negeri Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah, menjadi tetamu kehormat Majlis Makan Malam Persatuan Wanita Desa Sedunia (ACWW) Kawasan Asia Tenggara dan Timur Jauh yang diadakan di sini, malam kelmarin.

Majlis makan malam yang bertemakan ‘Malam Antarabangsa’ itu turut dihadiri oleh Presiden Kawasan ACWW Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar yang juga penasihat persidangan, manakala Toh Puan Norkiah pula ialah penaung kepada Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS).

Majlis yang berlangsung di Hotel Miri Marriot Resort & Spa pada malam kelmarin itu dihadiri lebih 200 delegasi serta sekretariat ACWW yang menghadiri Persidangan ACWW Ke-10 yang berlangsung di Miri selama enam hari, bermula Ahad lalu.

Sementara itu, Tunku Azizah dalam ucapan alu-aluannya berkata matlamat mengadakan majlis makan malam tersebut ialah untuk mengeratkan hubungan sesama ahli dari seluruh dunia dan dilihat mencapai tujuannya.

Katanya ia menyaksikan kemesraan dan semangat persahabatan yang terjalin antara lapan wilayah atau kawasan ACWW di seluruh dunia yang merangkumi Kanada, Amerika Syarikat, Eropah, Afrika Tengah, Barat dan Timur, Asia Tenggara, Asia Timur Jauh dan Pasifik Selatan.

“Tujuan persidangan ini ialah untuk meningkatkan lagi hubungan baik ahli-ahli ACWW dari rantau Asia Tenggara dan Timur Jauh serta berkongsi pandangan, idea serta membentuk hubungan persahabatan baharu sejak persidangan ini bermula Ahad lalu,” katanya.

Beliau menambah kata, persidangan tersebut turut membentangkan lima kertas kerja yang memberikan banyak manfaat, idea, pengetahuan, pendidikan serta pembangunan mantap untuk kepentingan kaum wanita.

Melalui persidangan seumpama itu juga, ACWW berharap akan mendapatkan lebih ramai keahlian daripada golongan wanita untuk menyertai pertubuhan tersebut demi pembangunan wanita secara amnya.

Malah beliau secara hormatnya telah menjemput Toh Puan Norkiah untuk menjadi ahli dan sebagai ahli beliau layak menghadiri persidangan dunia selama seminggu di Chennai, India, pada Oktober tahun ini.

“Malah kesudian Toh Puan untuk menyertai lawatan oleh rombongan kami ke Brunei esok (Rabu) adalah satu penghormatan,” katanya.

Dalam pada itu, Tunku Azizah turut berterima kasih dan memuji usaha PPWS termasuk cawangannya di Miri kerana berjaya menganjurkan persidangan tersebut walaupun hanya mempunyai masa selama empat bulan sahaja untuk membuat persiapan.

Beliau turut berterima kasih kepada usahawan wanita yang terkemuka di negeri ini, Datuk Raziah Mahmud-Geneid kerana telah menaja majlis makan malam berkenaan dan pengangkutan para delegasi untuk lawatan sehari ke Brunei, semalam.

Turut hadir di majlis tersebut malam kelmarin ialah Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah, Presiden Dunia ACWW May Kidd dan bekas Presiden Dunianya Datuk Ursula Goh serta Pengerusi PPWS Aishah Edris.