Nasib dua tebusan di Algeria belum dapat dipastikan

0

KUCHING: Nasib dua rakyat Malaysia yang menjadi tebusan pemberontak di Selatan Algeria masih belum dapat dipastikan, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Richard Riot Jaem.

Beliau berkata, pihaknya memantau rapi perkembangan dari semasa ke semasa bagi mendapatkan status dua mangsa yang mana seorang daripadanya berasal dari sini.

“Saya sentiasa berhubung dengan pegawai di Wisma Putra yang bertugas memantau setiap perkembangan berkaitan kes berkenaan.

“Setakat ini, kita belum mengesahkan nasib dua rakyat kita di sana,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam pada itu, usaha menemuramah ahli keluarga mangsa gagal.

Mangsa, Lau Seek Chiang, 38, dikatakan tinggal di sebuah taman perumahan di Tabuan Jaya di sini.

Lau menjadi tebusan di Kompleks Kemudahan Minyak dan Gas di Amenas, Algeria.

Seorang lagi dikenali sebagai K Ravi Kuppusamy, 48, dari Pulau Pinang.

Akhbar pada Jumaat lepas melaporkan nasib dua rakyat Malaysia yang menjadi tebusan pemberontak di Selatan Algeria tidak dapat dipastikan selepas 35 tebusan dilaporkan maut apabila helikopter tentera kerajaan mengebom tempat penahanan mereka.

Dalam kejadian penculikan waktu subuh itu, kedua-dua rakyat Malaysia yang bertugas dengan syarikat petroleum Jepun, JGC Corporation dalam perjalanan ke pelantar minyak sebelum bas mereka ditawan.