Rakyat tidak akan terpesong lagi

0

KUCHING: Kejayaan pembangkang memesongkan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) sekali gus menguasai empat negeri tidak akan berulang pada PRU13.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, selepas hampir lima tahun kebanyakan rakyat di negeri yang diperintah Pakatan Rakyat (PR) sudah mula sedar dan mempersoalkan kemampuan pembangkang untuk terus memerintah.

Malah menurutnya, janji PR pada PRU12 tidak tertunai dan ia membuatkan rakyat menjadi bosan dan kecewa.

“Mereka (pembangkang) berjanji pada PRU12 tetapi tidak dilaksana, setiap janji di semua negeri di bawah PR tidak ditunaikan.

“Terlalu banyak (janji) kalau hendak disenaraikan. Saya yakin rakyat tidak mudah untuk dipesongkan buat kali kedua,” katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, pembangkang di Malaysia sebenarnya tidak matang meskipun kebanyakannya mempunyai ijazah kerana gagal mengkritik secara konstruktif.

“Mereka tidak mengkritik menggunakan akal yang waras.

“Apa yang mereka tahu adalah kritik, kritik dan kritik, tidak kira sama ada kritikan mereka betul atau salah,” ujarnya.

Menurutnya lagi, pimpinan PR sejak akhir-akhir ini gemar mengkritik inisiatif kerajaan termasuk pemberian bantuan kepada rakyat.

“Ini sudah jelas menunjukkan mereka tidak mempunyai bahan atau isu untuk diketengahkan.

“Sebenarnya mereka tidak mampu menandingi usaha baik kerajaan Barisan Nasional (BN) menyebabkan sanggup mengkritik setiap bantuan yang diberikan kepada rakyat,” jelasnya.

Wan Junaidi menambah, setiap bantuan yang diberikan kerajaan adalah untuk memberi manfaat besar kepada rakyat secara menyeluruh.