Bahaya jika BN terus meminggirkan Dr Tiki

3

BN mungkin akan kehilangan Mas Gading jika berkeras menamakan calon daripada SPDP

BAU: Barisan Nasional (BN) berkemungkinan besar akan kehilangan kerusi Parlimen Mas Gading jika berkeras untuk menamakan calon daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Penghulu Gani Jonet dalam ucapan rumusannya mewakili komuniti Mas Gading berkata peluang BN untuk memenangi semula kubu kuat BN ini mungkin tipis jika berkeras untuk meletakkan calon daripada SPDP.

Ini kerana menurut Gani, ketua-ketua masyarakat di Mas Gading menolak sekeras-kerasnya mana-mana calon daripada SPDP yang disifatkan oleh mereka sebagai tidak menghormati undi BN susulan pengguguran penyandang sedia ada, Datuk Dr Tiki Lafe oleh pucuk pimpinan tertinggi parti itu.

“Kami ingin menyuarakan pendirian kepada Perdana Menteri bahawa ketua-ketua masyarakat di Mas Gading merupakan penyokong kuat BN dan mengesyorkan agar Dr Tiki dicalonkan semula pada PRU13.

“Kami tidak mahu BN ambil risiko dengan menamakan calon daripada SPDP dan jangan salahkan kami jika BN kehilangan kerusi Mas Gading,” tegas Gani di hadapan kira-kira 900 orang penyokong tegar Dr Tiki yang hadir pada Majlis Makan Malam Komuniti P.192 Mas Gading sempena Tahun Baharu 2013 di Dewan Suarah di sini malam kelmarin.

Majlis anjuran ketua-ketua masyarakat itu bertujuan menunjukkan rasa perpaduan, persaudaraan dan kerjasama komuniti Mas Gading kepada BN bukan kerana paksaan seperti yang didakwa oleh SPDP sebelum ini.

Penghulu kawasan Singai, Jidokson Raway dalam ucapannya berkata dakwaan yang dilemparkan oleh pihak-pihak tertentu bahawa ketua-ketua masyarakat dan ketua-ketua kaum tidak menyokong BN adalah tidak tepat.

Malah kehadiran mereka pada majlis malam kelmarin adalah atas kerelaan hati sebagai tanda sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada BN, khasnya penyandang sedia ada Mas Gading Dr Tiki.

Pada majlis itu ketua-ketua masyarakat mewakili komuniti Lundu, Biawak, Jagoi, Bratak, Singai, Melayu dan Cina di kawasan Mas Gading menandatangani kenyataan terbuka untuk menyatakan kepada pemimpin BN kebimbangan mereka terhadap kedudukan Mas Gading.

Peluang untuk Dr Tiki mempertahankan kerusi Parlimen yang disandangnya bagi kawasan Mas Gading pada PRU13 akan datang telah ditutup oleh Presiden SPDP Tan Sri William Mawan apabila tidak dicalonkan semula dan digugur daripada parti.

Malah presiden SPDP, secara terang telah menutup jalan untuk Dr Tiki di Mas Gading apabila mengumumkan mempunyai empat calon berpotensi menggantikan Ahli Parlimen itu.

Sebelum dilantik sebagai pengerusi MLKN, Dr Tiki pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah pada 2004 dan tidak dilantik semula selepas PRU 2008.

Pada PRU 1999, Dr Tiki menang dengan majoriti 10,684 undi, majoriti 10,579 pada PRU 2004 dan terus kekal pada 2008 dengan majoriti 8,551 undi.