Saturday, August 13

Dua beranak berhadapan detik cemas diikat, dikurung perompak

0

KUCHING: Dua anak beranak berhadapan detik cemas apabila diikat dan dikurung di bilik masing-masing oleh dua lelaki tidak dikenali yang memecah masuk kediaman mereka di Taman Duranda Emas, Siburan, dekat sini awal pagi semalam.

Penceroboh dikatakan masuk melalui tingkap dapur dalam insiden sekitar jam 3 pagi ketika mereka sedang tidur.

Seorang daripada suspek mengacukan pisau ke leher suri rumah yang dalam lingkungan lewat 40-an itu dan memberi arahan supaya tidak membuat bising sebelum mengikat tangannya menggunakan pita pelekat.

Suspek seterusnya menyelongkar bilik tidur dan ruang tamu dan melarikan beberapa barang kemas, wang tunai, kad pengenalan mangsa, telefon bimbit dan komputer riba sebelum melarikan diri.

Kerugian dianggarkan kira-kira RM4,000 dan laporan telah dibuat untuk siasatan.

Sementara itu, tindakan berani seorang juruaudit berjaya mengelakkan Toyota Hilux milik suaminya dilarikan pencuri, malam kelmarin.

Insiden itu dikatakan berlaku sekitar jam 10 malam di Jalan Abell ketika mangsa yang berusia 37 tahun bersama anaknya menunggu dalam kereta sementara suaminya pergi ke mesin pengeluaran tunai.

Tidak lama selepas itu, seorang lelaki tidak dikenali meluru masuk ke dalam kereta dan memandu kereta tersebut.

Mangsa cuba melawan suspek dengan membelok stereng kereta ke tepi jalan serta menarik brek kecemasan.

Mangsa turut bergelut dengan suspek sebelum kereta tersebut terlanggar sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki sebelum suspek memberhentikan kereta itu di sebuah stesen minyak di Jalan Petanak dan melarikan diri.

Akibat pergelutan tersebut, mangsa mengalami kesan gigitan, luka dan lebam di bahagian tangan dan lutut.

Kes sedang disiasat.