Jangan letak undang-undang di tangan sendiri

0

Tindakan penduduk rumah panjang belasah pengguna jalan raya hingga mati disifatkan sebagai jaguh kampung

SIBU: Tindakan penduduk rumah panjang di kawasan Sepiring, Selangau yang membelasah seorang pengguna jalan raya hingga mati kerana dipercayai terlibat dalam kemalangan dengan salah seorang daripada mereka (penduduk rumah panjang) disifatkan sebagai jaguh kampung.

Temenggung Sir Adrian Ringgau menyifatkan penduduk di rumah panjang itu hanya menuruti kehendak hati mereka disebabkan perasaan marah yang tidak dapat dikawal sehingga menyebabkan kematian yang tidak disengajakan.

“Ini merupakan kes yang pertama berlaku di kawasan rumah panjang di negeri ini kalau tidak silap saya.

“Kejadian seumpama ini sering berlaku tetapi tidak membawa kepada kematian. Kes ini amat menyedihkan kerana boleh memberi imej yang tidak baik terhadap penduduk rumah panjang oleh masyarakat lain.

“Sepatutnya individu-individu terbabit membawa orang itu (mangsa) ke balai polis dan menahannya dahulu dan bukannya membelasah mangsa bertubi-tubi hingga mati.

“Mana kita tahu apa cerita sebenarnya di sebalik kejadian kemalangan terbabit.

Jangan bertindak terburu-buru seperti jaguh kampung kerana berasakan diri berada berhampiran dengan rumah panjang sendiri,” katanya di sini semalam.

Adrian memberitahu bahawa masyarakat Iban tidak pernah menggunakan ‘adat bunuh’ terhadap individu yang terlibat dalam kemalangan dengan ahli keluarga mereka jika berlaku di lokasi berhampiran rumah panjang.

“Negara kita mempunyai undang-undang sendiri dan kita sebagai penduduk rumah panjang tidak boleh membuat undang-undang sendiri.

“Jika berlaku kemalangan yang membabitkan penduduk rumah panjang di lokasi berhampiran rumah panjang, sama ada seseorang individu itu didapati melanggar atau sebagainya penduduk rumah panjang sama ada menyebabkan kematian atau tidak, kita tidak boleh membalas balik insiden itu dengan kekerasan.

“Ia hanyalah kemalangan bukannya disengajakan. Ingat, kita mesti profesional dalam menangani masalah sedemikian dan bukannya berfikiran cetek sehingga boleh mengundang diri diheret ke muka pengadilan seperti kes ini,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau turut menasihati para tuai rumah supaya menasihati penduduknya agar tidak mengambil tindakan keras seperti itu yang boleh mencemarkan nama baik penduduk rumah panjang.

“Saya menasihati penduduk di rumah panjang jika berlaku kemalangan seperti itu cuba tahan pemandunya dan serahkannya kepada polis jika didapati bersalah.

“Di samping itu, saya nasihati pengguna jalan raya yang berada di luar sana jika anda tidak sengaja terbabit dalam kemalangan dengan penduduk rumah panjang yang berlaku di lokasi berhampiran rumah panjang supaya beredar dengan pantas menyerah diri ke balai polis terdekat atau meminta pertolongan daripada pengguna jalan yang lalu-lalang.

“Ini akan menyelamatkan anda daripada dibelasah seperti kes itu dan kita tidak mahu ia berulang lagi,” ujarnya.

Pada 17 Januari lalu, seorang pemandu kereta Kancil dipercayai meninggal dunia selepas dibelasah teruk oleh sekumpulan lelaki selepas satu insiden kemalangan di Kilometer 64, di Sepiring, Selangau.

Dalam kejadian pada jam 7 pagi, pemandu yang dikenali sebagai Ting Ing Ming, 60, sedang dalam perjalanan pulang ke Sibu dari Bintulu bersama seorang pekerja lelaki warga Indonesia.

Menurut sumber, kereta Ting dikatakan terlibat dalam kemalangan dengan sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Buyong, 38, seorang penduduk di kawasan berhampiran.

Ting dikatakan telah menghubungi pihak polis Selangau untuk mendapatkan bantuan sebelum sekumpulan lelaki muncul dan mula membelasahnya.

Akibat dibelasah secara beramai-ramai, Ting pengsan dan cedera parah di bahagian muka, kepala dan patah kaki kiri.

Penunggang motosikal yang juga tidak sedarkan diri masih terbaring di tepi jalan dikatakan mengalami luka di dahi dan patah kaki kanannya.

Polis yang tiba di tempat kejadian, menghubungi ambulans untuk menghantar kedua-dua mangsa ke Klinik Kesihatan di Selangau pada jam 10 pagi.

Bagaimanapun, Ting terpaksa dirujuk ke Hospital Sibu kerana keadaannya serius dan masih tidak sedarkan diri.

Pihak hospital mengesahkan Ting meninggal dunia selepas gagal diselamatkan di Unit Kecemasan dan Trauma pada jam 11 pagi pada hari yang sama.