Ahli PBB nafi dakwaan portal

0

KUCHING: Penafian sekeras-kerasnya disuarakan oleh beberapa ahli tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berhubung dakwaan portal berita mengenai pertelingkahan pemimpin atasan dalam parti itu dengan menyifatkannya sebagai tidak masuk akal dan perbuatan terdesak untuk mengelirukan rakyat.

Penolong Ketua Publisiti PBB Datuk Peter Minos berkata, sejak penubuhannya, terdapat pihak yang gemar mengganggu PBB dengan menggunakan propaganda buruk dan kepalsuan serta memutar belit fakta untuk mengelirukan rakyat.

“Ahli sejati PBB akan mengetepikan perkara karut sedemikian.

“Rakyat perlu ingat PBB ada peraturan dalam melaksanakan sesuatu dengan barisan pemimpin tertinggi membuat keputusan secara profesional dan senyap tanpa menarik sebarang perhatian orang ramai.

“Laporan siber sedemikian adalah bertujuan menimbulkan masalah dan kekeliruan dalam PBB, tetapi ahli PBB tidak ada kaitan sebenarnya seperti yang dinyatakan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Minos yang juga Pengerusi PBB Opar turut menyifatkan laporan itu sebagai angkara segelintir pihak anti-PBB yang nakal dan kejam sehingga mereka cerita yang tidak masuk akal.

Sehubungan itu, beliau menasihati rakyat agar tidak mempedulikan perkara karut itu kerana ia tidak berniat baik.

Jelas beliau, sejak penubuhan PBB, terdapat segelintir pihak yang nakal dan suka mengganggu PBB dengan menggunakan propaganda buruk dan kepalsuan serta memutar belit fakta untuk mengelirukan rakyat.

“Ini adalah kerja pihak yang mencurigakan dengan mereka cerita bagi menimbulkan kekeliruan dan syak wasangka kepada rakyat,” katanya.