Karnival Sri Aman 2013 bermula dengan pelbagai aktiviti menarik

0

HEBAT: Persembahan anggota 13 RAMD menembusi gelung api semasa karnival berkenaan pagi semalam.

SRI AMAN: Karnival Sri Aman 2013 sempena sambutan Ulang Tahun Ke-43 Rejimen Ketiga Belas Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Pakit bermula semalam hingga Ahad ini di Padang Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) Sri Aman di sini.

Majlis pelancaran karnival ini telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat.

Karnival tiga hari dua malam ini menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran agensi kerajaan dan korporat, pameran usahawan, tarian perang, belon udara panas, karnival permotoran, sukan rakyat, pertandingan futsal, ‘Benak Big Burger Challenge,’ pertandingan bertandak dan berdendang serta jualan beraneka makanan dan minuman.

Pertandingan Battle Of The Band dan persembahan nyanyian yang menampilkan Ali XPDC, Adi Mentor, Andrewson Ngalai, Sima Cats FM turut diadakan bagi memeriahkan karnival.

Karnival tersebut merupakan tanggungjawab sosial 13 RAMD Kem Pakit di samping menyahut seruan pucuk kepimpinan untuk menjayakan pembentukan gagasan 1Malaysia.

Hadir sama pada majlis pelancaran karnival semalam ialah Residen Bahagian Sri Aman Jonathan Lugoh, Timbalan Residen Bahagian Sri Aman Felicia Tan Ya Hua, Pegawai Daerah Sri Aman Ismawie Salleh serta Pegawai Memerintah 13 RAMD Kem Pakit Leftenon Kolonel Zamsari Abu Hasan.